KUALA LUMPUR – Bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor tidak bersetuju dengan langkah gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri (PM) jika memenangi pilian raya umum depan.
Ezam berkata, pembangkang perlu berani melakukan perubahan dan mereka sepatutnya menamakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon PM dan bukannya Dr Mahathir yang dilihat sudah terlalu lama dalam kancah politik negara.
“Harapan (PH) juga semestinya lebih berani menamakan Azmin sebagai perdana menteri, Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) sebagai timbalan perdana menteri bersama Nurul Izzah Anwar dan beberapa tokoh-tokoh muda lain membina pasukan mantap di Putrajaya.
“Berubah bukan asal berubah. Ia harus mempunyai asas kukuh. Meletakkan Azmin sebagai perdana menteri ada asasnya. Beliau berjaya mentadbir Selangor dengan cemerlang hanya dalam tempoh tiga tahun diberi amanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas pemimpin PKR itu juga membidas pembangkang kerana dilihat bergantung kepada pemimpin lama untuk melawan pemerintah kerajaan, walhal tugas itu sepatutnya digalas oleh pemimpin muda dan baharu.
“Tokoh-tokoh besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Lim Kit Siang wajar memberi laluan kepada tokoh-tokoh muda seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Nurul Izzah Anwar dan lain-lain menggalas tanggungjawab mengepalai pertempuran.
“Dalam sejarah silam terlalu banyak kisah dan teladan panglima-panglima muda diberi kesempatan seperti ini oleh tokoh-tokoh besar sebelum mereka,” ujarnya.
Ura-ura mengatakan PH dijangka mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon PM mereka sebelum memberi laluan kepada Anwar selepas dibebaskan daripada penjara. – MalaysiaGazette