Home Politik Saya rela habiskan masa dengan cucu dari jadi MB Kedah

Saya rela habiskan masa dengan cucu dari jadi MB Kedah

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

PETALING JAYA – Bekas Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Kedah dalam masa terdekat bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Menurut Tunku Aziz, fitnah yang disebarkan itu sebenarnya bermotifkan politik berikutan kelantangan beliau menyoal tindak tanduk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mohamad baru-baru ini.

“Saya tidak pernah berniat mahu pun memasang angan-angan untuk menjadi Menteri Besar Kedah seperti yang digembar gemburkan sebaliknya saya lebih menghabiskan masa tua saya dengan cucu.

“Apa motif saya yang sudah berumur 84 tahun untuk memegang jawatan seperti itu? Saya bukan seseorang yang kemaruk kuasa sehingga masih mahu terus pegang tampuk kuasa walaupun selepas 22 tahun pegang jawatan.

“Fitnah dan laporan tidak benar seperti ini sebenarnya bermotifkan politik dan kerja sia-sia. Saya tidak pernah mengadakan sebarang pertemuan empat mata dengan Ahmad Bashah sebelum ini. Saya ingin tegaskan, saya tidak berniat untuk jadi Menteri Besar atau mana-mana jawatan. Cukuplah, hentikan cerita karut seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan dalam blog bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang dalam tulisannya bertajuk ‘Tunku Abdul Aziz keluarga Diraja bakal MB Kedah ganti Ahmad Bashah’ yang dimuat naik dalam laman blognya pada Sabtu lalu.

Jelas Tunku Aziz, dakwaan itu dilakukan sejurus selepas sidang media oleh beliau yang menyoal Pengerusi PPBM, Tun Mahathir mengenai kebenaran bahawa beliau mahu anaknya, Mukhriz Mahathir bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) atas tiket UMNO.

“Saya rasa pelik kerana beliau (Zainuddin Maidin) dulu seorang Menteri Komunikasi. Mengapa beliau boleh menulis dan mengeluarkan fakta tidak betul? Tidak mencerminkan langsung identiti itu.

“Saya juga pada masa yang sama bukan seorang pendendam atau mahu publisiti, saya tidak mempunyai sebarang niat untuk menyaman beliau kerana fitnah besar ini.

“Sebaliknya, saya percaya kepada kebebasan bersuara walaupun apa maklumat yang disampaikan oleh Zainuddin ini tidak betul dan tepat. Saya boleh memaafkan beliau, terpulang padanya untuk meminta maaf atau sebaliknya. Saya tidak kisah. Yang penting, saya hanya mahu membetulkan fakta ini,” tegasnya.

Menerusi blog Zainuddin, yang lebih dikenali dengan Zam, mendakwa Tunku Aziz cuba meyakinkan Perdana Menteri bahawa Menteri Besar Kedah kini tidak layak untuk meneruskan jawatan tersebut selepas PRU nanti.

 

Difahamkan, kenyataan Zainuddin ini dikeluarkan sehari selepas Tunku Aziz mengulas mengenai tindakan Tun Mahathir Mohamad yang didakwa sedang berunding supaya Mukhriz dapat bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Perkara ini susulan laporan Raja Petra Kamarudin dalam portal Malaysia Today, yang mendakwa Tun Mahathir sedang ‘melakukan rundingan’ bagi survival politik Mukhriz.

Raja Petra mendakwa, persetujuan itu memerlukan Najib melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II sebelum PRU-14 serta memberinya jawatan Kabinet, sama ada Menteri Kewangan atau Menteri Dalam Negeri.

Sebagai balasan,  Mahathir akan berhenti menyerang Najib dan akan beralih kepada BN.

Tunku Aziz mendesak Mahathir menjawab dakwaan itu kerana ia jelas menunjukkan beliau tidak percayakan pakatan pembangkang yang diterajuinya.- MalaysiaGazette