PALEMBANG – Sekurang-kurangnya 13 maut selepas sebuah bot penumpang karam di perairan Sumatera, Indonesia.
Ketua Polis Marin Sumatera Selatan, Robinson Siregar berkata, bot yang membawa 55 penumpang itu dikatakan telah berlanggar dengan ombak besar yang menyebabkannya karam ketika melalui Sungai Musi, lapor AFP.
Menurutnya, pembantu bot itu telah ditahan untuk disoal siasat sama ada keadaan bot atau faktor kelalaian yang menjadi punca sebenar kemalangan itu berlaku.
“Kini, pihak polis giat mencari kapten bot itu yang terselamat tetapi telah menghilangkan diri,” katanya.
Menurut laporan, semua mayat mangsa nahas itu telah ditemui oleh penduduk di sepanjang tebing sungai berkenaan.
Kemalangan ini dilaporkan kejadian terbaru yang paling buruk berlaku di Indonesia.
Difahamkan, bot menjadi pengangkutan terpenting untuk membawa penumpang ke lebih 17,000 pulau di negara itu. – MalaysiaGazette