KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan menjalankan siasatan rasmi terhadap Tawaran Syiling Permulaan (ICO) yang dikenali sebagai CopyCashCoin (CCC) dan pengendalinya yang sudah memasuki Malaysia.
Siasatan itu dibuat selepas ICO yang ditubuhkan melalui sebuah yayasan berdaftar di Singapura telah mengadakan ceramah dan seminar di bandar-bandar utama di Malaysia termasuk Pulau Pinang dan Kuala Lumpur di pelbagai tempat termasuk kafe dan hotel.
Sebelum itu, dalam kenyataan 7 September tahun lalu, SC telah memberi amaran tentang peningkatan aktiviti ICO yang menawarkan pelaburan dalam mata wang kripto kepada orang awam, termasuk warga emas.
“Memandangkan aktiviti tersebut mungkin termasuk dalam bidang kuasa undang-undang sekuriti, pihak SC akan menjalankan siasatan rasmi terhadap CCC dan pengendalinya,” kata SC dalam satu kenyataan di sini.
Sehubungan itu, SC mengingatkan orang ramai agar mendapatkan nasihat undang-undang atau profesional jika mereka ragu-ragu mengenai keperluan perundangan dan kawal selia yang berkenaan.
Pelabur perlu berhati-hati dengan risiko yang berpotensi dalam ICO dan pengaturan pelaburan yang melibatkan`token digital’.
Pelabur hendaklah memahami produk tersebut, mengetahui lebih lanjut mengenai projek dan perniagaan asas serta aset pengendali dan skim, terutamanya apabila tiada maklumat yang tidak mencukupi mengenai syarikat atau struktur perundangannya.
Para pelabur hendaklah berwaspada, dan menyedari tentang meningkatnya risiko terdedah kepada penipuan oleh kerana ICO beroperasi secara dalam talian dan mungkin tidak dikawal selia.
SC terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain, termasuk rakan-rakan sekerja asing kami, untuk memantau rapi aktiviti-aktiviti sedemikian dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika perlu. – MalaysiaGazette