Home Akhbar Cina Pusat bahasa di maktab polis

Pusat bahasa di maktab polis

Kursus bahasa Cina pada masa ini ditawarkan selama dua minggu untuk membolehkan pegawai polis mempelajari dialog mudah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Pusat bahasa akan ditubuhkan di Maktab Polis Diraja Kuala Lumpur untuk memantapkan penguasaan bahasa polis sekali gus memudahkan mereka melakukan siasatan kes.
Komandan Maktab Polis Diraja Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo ketika menerima wawancara Sinchew Daily berkata, kursus bahasa Cina pada masa ini ditawarkan selama dua minggu untuk membolehkan pegawai polis mempelajari dialog mudah.
Beliau berkata, kursus bahasa itu bagaimanapun akan diperluaskan supaya pegawai polis dapat berkomunikasi dengan lebih baik dengan kaum Cina.
Katanya, rancangan perluasan kursus bahasa Cina itu juga mendapat sokongan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Mengulas mengenai ‘adat’ Cina yang tidak menggalakkan anak perempuan untuk menjadi polis, Lei Choo berkata, beliau berminat untuk menjadi polis sejak belajar di Universiti Malaya lagi.
Beliau berkata, menjadi polis adalah caranya untuk menunjukkan rasa sayang kepada negara ini.
Ditanya bagaimana beliau dapat bersaing dengan kaum Adam dalam pasukan polis, Lei Choo mengakui dirinya merupakan seorang yang gila kerja (workaholic).
“Nasib akan menyebelahi anda jika anda sanggup bekerja secara proaktif, tekun dan serius,” katanya. – MalaysiaGazette