KOTA BHARU – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Mesra Sdn Bhd akan membina 8,000 Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) termasuk 5,000 rumah khusus untuk generasi kedua Felda seluruh negara tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Mohamad Hasnan Che Hussin berkata, syarat pemilikan rumah berkenaan juga akan dipermudahkan bagi memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah sendiri.
“Ini termasuk kemudahan pinjaman yang disediakan SPNB dengan syarat yang lebih longgar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Dokumen Pinjaman dan Serahan Sijil Kelayakan Subsidi RMR1M Peringkat Parlimen Kota Bharu di sini, hari ini.
Seramai 37 permohonan baharu Sijil Kelayakan Subsidi RMR1M diluluskan pada majlis tersebut.
Mohamad Hasnan berkata, bagi menjayakan pembinaan rumah dengan kos RM60,000 sebuah itu SPNB melalui SPNB Edar Sdn Bhd berusaha mendapatkan bahan pembinaan dengan harga lebih rendah terus daripada pembekal melalui kaedah subsidi.
Sementara itu, katanya, pihaknya berjaya menyiapkan pembinaan 6,023 rumah RMR1M di seluruh Kelantan tahun lepas.
Beliau berkata, setakat ini tiada tindakan penarikan balik rumah dilakukan pihaknya kerana langkah penstrukturan semula pembayaran pinjaman disediakan bagi pemohon yang bermasalah. – Bernama