Home Politik Tun M tidak layak bercakap tentang kebebasan bersuara atau demokrasi – Vell...

Tun M tidak layak bercakap tentang kebebasan bersuara atau demokrasi – Vell Paari

S. Vell Paari

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibidas untuk berhenti bercakap tentang kebebasan bersuara dan demokrasi di negara ini berikutan pemerintahan ‘kuku besi’ selama hampir 22 tahun memerintah .

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari menyifatkan kenyataan serta tindak tanduk Tun Mahathir sebenarnya memalukan kerana beliau seolah-olah ‘meludah ke langit kena muka sendiri’ apabila mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan prinsipnya selama ini.

“Selama 22 tahun pemerintahan, Tun Mahathir telah menyebabkan kebebasan bersuara dan demokrasi itu ‘mati’. Hanya beliau sahaja mempunyai kuasa untuk berbuat apa sahaja. Jangan kita lupa, segelintir pemimpin utama dalam pembangkang pernah menjadi mangsa kekejaman Tun Mahathir satu ketika dahulu.

“Tun Mahathir, kami ketika ini terutamnya di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sedang ‘memperbaiki’ setiap kesalahan dan kerosakan yang telah dilakukan oleh anda. Benar, anda adalah bapa pembangunan tetapi anda hanya berjaya membina bangunan-bangunan pencakar langit ketika itu.

“Bagaimana pula dengan pembangunan moral dan sivik? Itu baru betul pembangunan untuk rakyat, demi rakyat. Bukan konkrit dan batu semata-mata. Tolonglah berhenti bercakap tentang demokrasi atau kebebasan bersuara kerana ianya akan memalukan diri anda sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Vell Paari mengulas kenyataan Tun Mahathir yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan provokatif yang dilihat cuba mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokratik.

Tambah Vell Paari, selama 22 tampuk pemerintahan Tun Mahathir, pemimpin itu hanya mementingkan kroni selain daripada memerintah Malaysia dengan dasar ‘pecah dan perintah’.

“Baru-baru ini beliau telah memohon maaf secara terbuka kononnya telah melakukan pelbagai kesilapan kepada rakyat Malaysia dan jika diizinkan boleh menjadi kembali Perdana Menteri pada usia 92 dalam pakatan pembangkang.

“Permohonan maaf itu terang lagi bersuluh mengatakan beliau memang bersalah. Saya ingin menukar perkataan ‘democracy’ kepada ‘democrazy’ untuk Tun Mahathir,” tegasnya.

Beberapa hari lepas,  Pergerakan Pemuda UMNO membuat laporan polis berhubung tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( PPBM), Tun Mahathir Mohamad yang mahu menggulingkan kerajaan dengan cara tidak demokratik dan penuh fitnah.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun berkata, tindakan Dr. Mahathir itu hanya atas sebab kepentingan peribadi semata-mata dengan niat menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Menurut Khairul Azwan, niat jahat Dr. Mahathir untuk menggulingkan kerajaan itu sudah dilakukan sejak tahun 2014 dan pihaknya sudah mengumpulkan bukti-bukti yang diperoleh kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbincang sesuatu dengan anaknya, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) pada Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Ideal Convention Centre Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 DISEMBER 2017