
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melawat mangsa banjir di kawasan parlimennya, Pekan dan meninjau daerah sekitar yang terjejas akibat bencana alam yang melanda sejak Khamis lalu.
Najib memulakan lawatannya dengan melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Temai kira-kira jam 11.45 pagi.
Turut mengiringi beliau, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Seramai 96 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di pusat itu sejak Khamis lalu selepas kediaman dan laluan ke kediaman mereka dinaiki air.
Mangsa dari tiga perkampungan dalam Mukim Temai iaitu Temai Hilir, Temai Hulu dan Temai Tengah.
Najib kemudiaannya meneruskan lawatan ke Dewan Orang Ramai Seri Damai, dimana kira-kira seramai 62 penduduk daripada 30 keluarga dari Kampung Seri Damai ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) itu.
Sehingga jam 1 tengah hari ini, banjir di Pahang semakin pulih apabila hanya 595 orang daripada 200 keluarga masih ditempatkan di 16 PPS.
Pekan adalah daerah paling ramai mangsa dengan 282 orang daripada 77 keluarga yang ditempatkan di enam PPS. – MalaysiaGazette