Home Dunia Bayi ditemui mati dalam tandas pesawat Etihad

Bayi ditemui mati dalam tandas pesawat Etihad

JAKARTA – Seorang wanita ditahan selepas seorang bayi ditemui mati dalam tandas sebuah pesawat komersial.

Polis Indonesia berkata, mereka menahan suspek yang disyaki ibu kepada bayi tersebut, dikenali Hani, berikutan penemuan tersebut di lapangan terbang Jakarta.

Para pegawai mengesyaki wanita berusia 37 tahun itu melahirkan anak semasa dalam penerbangan dari Abu Dhabi ke ibu negara Indonesia itu pada Sabtu lalu.

Wanita yang bekerja di luar negara yang berasal dari Cianjur di barat Jawa didapati tidak sihat semasa penerbangan Etihad, memaksa juruterbangnya mendarat di Bangkok.

Kira-kira empat jam selepas berlepas, Hani mula mengalami pendarahan yang menyebabkan kapten penerbangan meminta bantuan perubatan.

Wanita itu dikeluarkan dari pesawat di Thailand tetapi bayi yang meninggal dunia itu tidak ditemui sehingga pesawat tersebut tiba di destinasinya.

Hani menyambung perjalanan pulang ke negaranya dengan menggunakan penerbangan lain.

“Wanita itu duduk di kelas ekonomi tetapi kemudian baring di kelas perniagaan dengan topeng oksigen,” kata seorang anak kapal, Francesco Calore kepada AFP.

“Kapten mengumumkan kita perlu dilencongkan ke Bangkok,”

Ketua polis lapangan terbang Jakarta, Ahmad Yusef membeitahu AFP bahawa tukang cuci di lapangan terbang menemui bayi yang dibungkus dengan beg plastik dalam sebuah laci pada salah sebuah tandas pesawat.

Beliau berkata, punca kematian masih lagi disiasat.

Polis berkata, Hani bekerja sebagai pembantu rumah di Abu Dhabi selama empat tahun. – Agensi