Home Ekonomi Jualan Proton 2017 susut

Jualan Proton 2017 susut

KUALA LUMPUR – Proton menyaksikan jualan sejumlah 70,991 unit pada tahun lalu berbanding 72,291 unit pada tahun 2016.

Penurunan itu disebabkan kejatuhan tempahan bagi teksi.

Daripada jumlah itu, sebanyak 68,184 unit telah diserahkan kepada pelanggan, mewakili peningkatan sebanyak 2.5 peratus daripada 66,513 unit pada 2016.

Proton berkata, model Saga, Persona dan Ertiga mewakili 80 peratus daripada jumlah jualan Proton pada tahun lalu dengan Saga menjadi model jualan terbaik.

Model sedan itu menyaksikan jualan kukuh melebihi 30,000 unit tahun lalu manakala Persona naik 27 peratus kepada 19,510 unit berbanding 15,390 unit.

Sejumlah 6,091 unit Ertiga dijual pada tahun lalu.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa berkata, prestasi jualan Proton yang stabil pada tahun lalu disebabkan peningkatan kualiti yang agresif dilakukan secara dalaman.

Katanya, Geely Auto melakukan pemeriksaan kualiti yang ketat terhadap kereta-kereta Proton dan dalam masa tiga bulan, syarikat kereta itu mampu meningkatkan kualiti sebanyak tiga kali ganda.

“Kami melihat pada 2018 lebih positif dan berharap dapat meningkatkan usaha untuk lebih baik pada tahun ini.

“Tahun ini akan menjadi tahun kritikal bagi Proton kerana kami akan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sejajar dengan pelan perniagaan baru untuk tempoh 3 hingga 10 tahun demi pemulihan syarikat,” tambahnya. – MalaysiaGazette