Home Politik Azalina tak yakin calon PM kitar semula dapat tarik pengundi muda

Azalina tak yakin calon PM kitar semula dapat tarik pengundi muda

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berucap pada Majlis Lawatan Rasmi Beliau ke Amanah Raya Berhad di Wisma Amanah Raya, Kuala Lumpur. foto 08 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Langkah blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) yang menamakan calon Perdana Menteri kitar semula tidak diyakini mampu menarik pengundi muda dalam pilihan raya umum nanti, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pembangkang dilihat terdesak untuk mendapat undi sehingga terpaksa memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon mereka walhal mereka memiliki banyak pemimpin muda yang berkemampuan dan berkebolehan.

“Saya kata banyak kali bahawa PH parti kitar semula. Sebab kitar semula bekas pemimpin UMNO.

“Jadi saya kesian pada PH, sebab dia banyak pemimpin yang kemungkinan ada kebolehan. Saya lihat dalam Parlimen ramai muka-muka muda yang boleh bahas saya tidak tahu kenapa tidak ketengahkan mereka,” kata beliau semasa sidang media selepas lawatan rasmi ke Amanah Raya hari ini.

Oleh itu, Azalina menggesa supaya rakyat berhati-hati dan tidak terpedaya dengan helah pembangkang yang tidak ikhlas dalam memperjuangkan nasib rakyat sehingga sanggup memilih calon kitar semula sebagai pemimpin mereka.

“Mereka nak ketengahkan calon kitar semula mungkin kerana tidak yakin dengan pemimpin sedia ada.

“Kedua saya lihat keikhlasan sebab itu saya minta rakyat lebih berhati-hati, kalau pakai pemimpin kitar semula, maknanya PH ini tidak ada harapan,” ujarnya lagi.

Langkah diambil pembangkang berbeza dengan pendekatan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lebih mementingkan masa depan anak muda, sebagai contoh dengan memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk memberi peluang kepada generasi anak muda memimpin negara kelak, kata Azalina.

“Bagi saya generasi muda lihat pada masa depan.

“Saya tak lihat generasi muda tertarik dengan pemimpin kitar semula dan polisi mereka,” ujarnya.

Pembangkang semalam mengesahkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri mereka dalam perhimpunan Konvensyen PH besar-besaran.

Bagaimanapun, selepas pengumuman tersebut kritikan daripada pemimpin akar umbi PH semakin kuat yang menolak pencalonan Dr Mahathir. – MalaysiaGazette