Home Politik Pilihan Pakatan Harapan untuk elak perpecahan

Pilihan Pakatan Harapan untuk elak perpecahan

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (tengah) bersama Presiden Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah (tiga kiri) menyempurnakan gimik Majlis Pra Pelancaran Malaysia Cyber Games 2018 di lobi banggunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 08 JANUARI 2017.

PUTRAJAYA – Keputusan yang dibuat untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) merupakan satu-satunya pilihan yang ada untuk pakatan tersebut.

Ahli Majlis Tertinggj UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan gabungan itu berisiko untuk berpecah dalam sekelip mata sahaja jika Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak dipilih, sekali gus memusnahkan hasrat untuk menang.

“Aneh sangat apa yang berlaku. Mereka tak ada pilihan, kalau mereka tak pilih Tun M dalam masa 24 jam mereka akan berpecah. Kalau tak pilih Wan Azizah sebagai TPM (Timbalan Perdana Menteri), mereka akan berpecah. Jadi tak ada pilihan,” katanya kepada pemberita.

Sekalipun PPBM menerima jumlah kerusi Parlimen terbanyak berbanding keempat-empat parti komponen yang lain, namun menurut Salleh, tidak semestinya parti itu mampu memenangi kesemua 52 kawasan seperti yang diumumkan.

“Kalau kita lihat susunannya, seolah-olah parti bunga itu mendapat majoriti yang banyak dalam pertandingan kerana kononnya dia bertanding di kerusi yang banyak. Kedua terbanyak adalah PKR, kerana TPM adalah PKR tapi tak dimasukkam kerusi ditandingi di Sabah dan Sarawak.

“Tak semestinya ditawar kerusi banyak akan menang sedemikian. Sebelum ini pun PKR ditawar 90 kerusi tapi menang sikit. DAP bertanding lebih 50 kerusi dan hanya menang 38 kerusi.

“Jadi jumlah yang ditandingi tidak membawa jumlah yang dimenangi. Tapi mereka ingin menggambarkan seolah-olah parti bunga yang akan mendapat kemenangan terbanyak dan jadi Perdana Menteri. Begitu juga PKR,” tambah Menteri Komunikasi dan Multimedia itu.

Bagaimanapun katanya, meletakkan Mahathir sebagaj calon Perdana Menteri untuk PH sama sekali tidak menjejaskan BN kerana ia membuktikan parti tersebut melangkah jauh ke belakang.

“BN akan menerima siapa sahaja saingannya. Pada kita, kita tidak kisah sama ada mereka memilih Tun M atau pemimpin lain.

“Kita bersatu sebagai parti politik dan menawarkan kepada rakyat parti mana yang boleh memberi khidmat yang terbaik.

“Pada saya mereka ke belakang bukannya ke depan,” katanya ketika ditemui selepas pra-pelancaran Malaysia Cybergames 2018 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. – MalaysiaGazette