SEOUL – Korea Utara dan Korea Selatan akan mengadakan perbincangan rasmi pertama hari ini dengan agenda utama berkisar soal bagaimana atlet Pyongyang boleh menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang.
Agenda perbincangan sukan mungkin kelihatan kecil tetapi pertemuan tersebut mendapat perhatian pemimpin dunia apabila ia merupakan salah satu gambaran kurangnya ketegangan di Semenanjung Korea.
“Perbincangan akan tertumpu kepada penyertaan Korea Utara di Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang dan persiapan terhadap beberapa permintaan Korea Utara demi memastikan Olimpik berlangsung secara aman,” kata jurucakap Kementerian Perpaduan Korea Selatan, Baek Tae-hyun.
Lima pegawai kanan, masing-masing mewakili kedua-dua negara akan bertemu di Rumah Aman di Panmunjom manakala perbincangan dijangka bermula jam 10 pagi waktu tempatan.
Pada masa sama, pegawai Korea Selatan berharap dua negara itu bakal mengadakan perbarisan bersama bawah satu bendera ketika majlis perasmian untuk pertama kali dalam tempoh lebih sedekad.
Sabtu lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan sokongan penuh terhadap perbincangan itu dan mengharapkan perkembangan positif.
Beliau turut menyuarakan kesediaan bercakap dengan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menerusi telefon. -MalaysiaGazette