KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah tidak relevan lagi dan ia wajar dibubarkan selepas menerima pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri untuk mewakili Pakatan Harapan (PH).
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan itu wajar dilakukan memandangkan PKR sudah ‘menjual’ prinsip perjuangan mereka iaitu membela ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ya (patut bubar) memang kita rasa dia tak ada prinsip, sebuah parti yang tiada pegangan, tiada hala tuju.
“(Kini) Mereka telah bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dari sebuah parti baru wujud, sekarang jadi parti terbesar dalam PH.
“Tiada relevan lagi wujudnya PKR lagi. Tiada lagi asas perjuangan mereka, apa asasnya wujudnya PKR, kerana perjuangan PKR hanya seorang diri, hanya untuk Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Laman Web MCA School of Political Studies di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan PH pada Ahad lepas yang sebulat suara menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.
Tindakan itu sekali gus bertentangan dengan perjuangan asal PKR yang mahu pengasasnya, Anwar menjadi perdana menteri ke-7 dan ia menjadi agenda utama parti serpihan UMNO itu sejak beliau dipecat oleh Mahathir pada 1998.
Tiong Lai berkata, PKR dan PH kini sudah dirampas sepenuhnya oleh Mahathir apabila berjaya meyakinkan pemimpin pembangkang untuk menaikkan beliau semula sebagai calon perdana menteri.
“Dulu dia reformasi, sekarang ini dia sudah direformasikan oleh Mahathir. Apa yang kita tengok sekarang Mahathir sudah ‘hijack’ PKR dan ‘hijack’ keseluruhan Pakatan Harapan.
“Sekarang mereka sudah gadaikan PKR kepada PPBM. PPBM pula sekarang yang memimpin kesemua Pakatan Harapan,” katanya.
Katanya, keputusan menamakan Mahathir itu juga hanyalah satu sandiwara politik semata-mata untuk menyuburkan budaya nepotisme dalam gabungan parti pembangkang itu.
“Jadi saya rasa kewujudan mereka, ia tak memberi makna kepada rakyat, yang pentingnya rakyat.
“Kita nak maklum kepada rakyat bahawa semua yang dibuat sekarang ini adalah sandiwara dan untuk merebut kuasa
“Mereka tiada agenda untuk negara dan rakyat, kita kena jelaskan secepat mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette.