Home Utama NUTP cadang 23 perkara dalam kod etika untuk lindungi guru

NUTP cadang 23 perkara dalam kod etika untuk lindungi guru

Presiden Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak menunjukkan buku Panduan Am Disiplin Sekolah dan Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru pada sidang akhbar di Dewan Perjuangan NUTP, Wisma NUTP, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 09 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 23 perkara dicadang untuk dimuatkan ke dalam Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga untuk dijadikan panduan kepada ibu bapa atau penjaga ketika berurusan dengan guru di sekolah.

Cadangan itu dibuat oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sebagai melindungi guru.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata, ia membabitkan 15 perkara yang mesti dipatuhi serta lapan tingkah laku yang perlu dihindari ibu bapa yang berurusan di semua sekolah serta institusi pendidikan lain seperti kolej vokasional, matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG).

“Antara perkara dicadangkan adalah ibu bapa dan penjaga perlu merujuk Pengetua, Guru Besar atau pentadbir institusi jika mempunyai masalah dengan guru berkaitan anak mereka.

“Perkara kedua adalah ibu bapa serta penjaga tidak dibenar membawa masuk topi keledar atau benda yang boleh mendatangkan mudarat atas dasar keselamatan, manakala sekolah berhak menghubungi polis jika arahan tidak dipatuhi.

“Ketiga, menyalah guna atau mesej bernada ancaman sama ada menerusi e-mel, teks, mel suara, panggilan telefon atau komunikasi bertulis lain, termasuk menerusi media sosial,” katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga di Wisma NUTP di sini, hari ini.

Menurut Kamarozaman, cadangan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga itu akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat untuk dibincang bersama ibu bapa.

Ujarnya, NUTP berharap Kementerian Pendidikan menetapkan segera tarikh pertemuan kedua-dua pihak untuk berbincang serta memutuskan kandungan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga itu, sekali gus mengedarkannya kepada semua ibu bapa.

“Kod etika ini adalah garis panduan. Ibu bapa boleh datang ke sekolah untuk selesaikan masalah tertentu, namun perlu ada kaedah dan tatasusila.

“Kami harap perkara berbangkit cuba diselesaikan di peringkat sekolah sebelum dilaporkan kepada polis yang sepatutnya adalah langkah terakhir,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau berkata, Kementerian Pendidikan perlu menyemak dan menerbitkan semula buku Panduan Am Disiplin Sekolah dan Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru yang kali terakhir diterbitkan pada 1981 dan 1988.

Katanya, buku itu adalah panduan kepada pengurusan sekolah dalam menangani isu disiplin dan ia bukan saja sudah tidak diulang cetak, malah tiada di pasaran serta tidak dimiliki oleh Arkib Negara.

“Kementerian perlu mengemas kini dan menerbitkan semula buku panduan itu serta mengedarkannya kepada semua 10,100 sekolah di negara ini serta ibu bapa supaya tidak timbul salah faham dan fitnah antara mereka dan guru,” jelasnya. – MalaysiaGazette