Home Ekonomi Usahawan PKS digesa rebut dana RM22.2 bilion

Usahawan PKS digesa rebut dana RM22.2 bilion

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
SHAH ALAM – Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhan (PKS) Bumiputera dan bukan Bumiputera digesa merebut dana RM22.2 bilion yang disediakan kerajaan dalam Bajet 2018 untuk mengembangkang perniagaan mereka.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indsutri (MITI), Datuk Ahmad Maslan berkata, dana itu merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah yang diberikan Kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat di negara ini.

“Jika kita tidak merebut peluang ini, maka ia akan direbut oleh orang lain yang lebih agresif. Dana RM22.2 bilion ini termasuk untuk bukan Bumiputera.

“Jadi usahawan Bumiputera itu perlu agresif merebut segala peluang, di mana dana RM22.2 bilion ini dalam bentuk pinjaman mudah, geran sepadan dan pinjaman mudah,” katanya pada sidang media di bangunan UMNO Selangor, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indsutri (MITI), Datuk Ahmad Maslan (dua kiri) memegang mock Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Amal Makruf Malaysia (YAMM) dengan rakan strategik Usahawan Kebangsaan Malaysia (GENMA), di bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Ahmad menghadiri Majlis Kesyukuran, Ramah Mesra dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Yayasan Amal Makruf Malaysia (YAMM) dengan rakan strategik Usahawan Kebangsaan Malaysia (GENMA).

Beliau berkata, kesemua peruntukan yang disenaraikan dalam Bajet 2018 merangkumi pelbagai aspek termasuk akses pasaran, pembiayaan latihan, modal insan, teknologi dan automasi serta modal kerja.

“Antaranya RM200 juta bagi program latihan, geran dan pinjaman mudah PKS di bawah SME Corp, RM82 juta untuk industri halal, RM500 juta untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga dan RM200 juta untuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” jelasnya.

Ditanya tentang dakwaan bahawa peruntukan RM22.2 bilion itu khas untuk usahawan Melayu dan Bumiputera sahaja, Ahmad yang menafikannya berkata, ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang layak.

“Dakwaan itu tak betul, usahawan PKS di negara ini termasuk bukan Bumiputera berjumlah lebih 900,000 syarikat dan 37 peratus dari jumlah itu adalah usahawan Melayu dan Bumiputera.

“Apabila kita mahu rakyat kita jadi bangsa usahawan, ia melibatkan semua bangsa dan kaum.

“Kita mahu usahawan PKS sedia ada rebut peluang ini terlebih dahulu, kita mahu usahawan mikro ini semakin kecil dan mereka menjadi usahawan PKS dan kemudiaan menjadi usahawan yang lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette