Home Dunia Yingluck menetap di Britain guna visa usahawan

Yingluck menetap di Britain guna visa usahawan

Yingluck Shinawatra

BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra tidak mendapatkan suaka politik, sebaliknya menggunakan visa usahawan untuk menetap di Britain, menurut laporan media yang memetik sumber terdekat dengan perkara tersebut.

Yingluck memohon visa Peringkat Satu (Usahawan) yang membenarkan pemegangnya tinggal di Britain untuk tempoh maksimum selama tiga tahun empat bulan, kata laporan yang memetik sumber yang tidak mahu dikenali dalam Parti Pheu Thai.

Menurut laman sesawang gov.uk yang menyiarkan maklumat mengenai perkhidmatan kerajaan United Kingdom, mereka yang berasal dari luar kawasan ekonomi Eropah dan Switzerland boleh memohon visa Peringkat Satu (Usahawan) jika mempunyai akses sebanyak £200,000 dalam bentuk dana pelaburan.

Pemegang visa boleh memohon untuk melanjutkan tempoh visa selama dua tahun lagi dan kemungkinan bermastautin jika mereka telah berada di Britain selama lima tahun, menurut laman sesawanng itu.

Terdapat spekulasi bahawa belas perdana menteri itu mungkin memohon suaka politik untuk tinggal di Britain selepas melarikan diri untuk mengelak dipenjara di Thailand.

Yingluck yang dikategorikan sebagai orang buruan di bawah undang-undang Thailand dilihat berada di Britain beberapa bulan lalu dengan gambar beliau yang diambil di London tersebar di media sosial sebelum dan selepas cuti tahun baharu.

Semalam, Pheu Thai mengesahkan Yingluck, seorang bekas pemimpin kanan parti itu berada di Britain walaupun ahli-ahli parti mendakwa mereka tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai lokasi beliau.

Seorang pemimpin parti pemerintah sebelum ini, Phichai Nariphathapha berkata, Yingluck berada di Britain dan gambar terbaharu yang tersebar di media sosial adalah gambar asli.

“Bagaimanapun saya tidak tahu jika dia memohon suaka politik atau tidak.

“Kami mengikuti berita mengenai beliau daripada media. Terdapat lebih banyak berita (mengenai Yingluck). Ia akan menjadi lebih jelas tidak lama lagi,” katanya seperti dilaporkan The Nation.

Yingluck meniggalkan negaranya pada akhir Ogos lalu, sebaik sahaja sebelum Bahagian Jenayah Mahkamah Agung untuk Pejabat Penjawat Politik dmembuat keputusan terhadap kes yang membabitkan rasuah skim beras kerajaan pimpinan beliau.

Pada akhir September lalu, beliau dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun kerana cuai dalam skim tersebut. – Agensi.