Home Nasional Thaipusam diteruskan walaupun gerhana bulan

Thaipusam diteruskan walaupun gerhana bulan

R. Nadarajah

 

KUALA LUMPUR – Kuil Sri Subramaniyar Swami, Batu Caves tidak akan ditutup kepada penganut Hindu daripada menunaikan nazar sempena Thaipusam walaupun ada ramalan berlakunya fenomena gerhana bulan pada tarikh berkenaan.

Namun satu upacara khas (parigaaram pooja) akan dilakukan untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini mengikut kepercayaan masyarakat Hindu setiap kali berlakunya gerhana bulan dan matahari.

Menurut Pengerusi Kuil Devasthanam Sri Maha Mariamman, Tan Sri R Nadarajah, fenomena gerhana yang berlaku kali pertama dalam sejarah sambutan Thaipusam menyebabkan pihaknya terpaksa mengambil alternatif itu.

“Rata-rata masyarakat Hindu tidak akan keluar rumah dan setiap rumah ibadat seperti kuil akan ditutup sepanjang berlakunya fenemona gerhana. Namun dalam hal ini, kita juga perlu fikirkan jalan terbaik kerana penganut yang mahu membayar nazar ketika Thaipusam sangat ramai.

“Kita tidak mempunyai niat untuk menutup kuil kerana kepentingan orang ramai yang mahu melakukan nazar, yang telah lama memasang niat serta sembahyang hajat. Dengan melakukan ‘parigaaram pooja’, kita masih mampu menyambut Thaipusam.

“Kita di Sri Subramaniyar Swami akan menyambut Thaipusam selama empat hari antara 29 Januari sehingga 1 Febuari 2018. Perarakan kereta berhala Gold Chariot dan Silver Chariot bermula dari kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H S Lee ke kuil Sri Subramaniar Batu Caves sepanjang 18 kilometer,” katanya.

Tambah Nadarajah, berpuluh ribu penganut agama Hindu berarak membawa ‘kavadi’ dan periuk susu ‘pal koodam’ serta memecahkan kelapa untuk membayar nazar dan menebus dosa.

“Malah kali ini, kita tidak akan mengenakan sebarang peraturan khas kepada mana-mana induvidu yang membawa kavadi seperti tahun sebelum ini kerana kami menerima aduan daripada pembawa kavadi yang bernazar.

“Ada yang akan membawa parang, menghisap curut dan lain-lain lagi. Pada saya, terpulang kepada mereka bagaimana mereka mahu membayar niat mereka, itu tanggungjawab mereka,” tegasnya.

Sebanyak lebih 1.5 juta orang dijangka akan berada di Batu Caves bagi menyambut perayaan Thaipusam kali ke-128 tahun ini.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi menghormati dewa Murugan sempena memperingati hari lahir dewa itu.

Turut dikenali sebagai Thaipooyam atau Thaippooyam dalam bahasa Malayalam, perayaan ini bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak bongsu lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati.

Ia juga bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman.

Sementara itu, mengikut ramalan Angkasa, gerhana bulan penuh akan berlaku pada 31 Januari 2018 di Amerika Syarikat, Timur Laut Eropah, Russia, Asia (termasuk Malaysia), Lautan Hindi, Pasifik dan Australia.

Di Malaysia, gerhana bermula pada jam 7:45 malam, mencapai kemuncak (maksima) pada 9:30 malam dan berakhir pada jam 11:11 malam, kenampakan gerhana meliputi seluruh Malaysia. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

Comments are closed.