KUALA LUMPUR – Ahli-ahli pemuda yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah muak dengan retorik yang dimainkan oleh pucuk pimpinan parti itu, kata bekas Exco PPBM, Muhammad Syazwan Ahmad Zainal.
Menurutnya, parti itu dilihat semakin hilang arah apabila hanya meletakkan matlamat untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semata-mata.
“Kalau dilihat ada beberapa individu di dalam PPBM ini mempunyai pengaruh. Contohnya, ketua pemudanya sendiri mempunyai pengikut dalam kalangan mahasiswa.
“Retorik yang sering dimainkan adalah parti ini merupakan parti orang muda. Tapi, kita orang muda tak boleh buat keputusan untuk kepentingan orang muda sendiri. Yang penting sekarang ini adalah mahu menjatuhkan Najib dan BN,” katanya pada sidang media di Pandah di sini hari ini.
Syazwan berkata, banyak perkara diharapkan oleh golongan muda yang menyertai parti tersebut sebelum ini namun, dalam situasi sekarang ia diyakini tidak akan menjadi kenyataan selagi pemimpin atasan tidak berubah sikap.
“Ramai golongan muda belum tentu boleh membawa suara orang muda ke depan,” ujarnya.
Mengulas mengenai pemecatannya sebagai exco parti itu, beliau sendiri tidak faham mengapa dikenakan tindakan sedemikian.
Katanya, pada asal beliau hanya menegur pucuk pimpinan agar kembali kepada matlamat perjuangan dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh parti.
“Saya hanya tegur pasal masalah kepimpinan, masalah-masalah yang tak dapat diselesaikan di peringkat bahagian dan sebagainya,” jelasnya yang masih lagi menjadi ahli parti itu secara sah.
Ujarnya, pemecatan beliau sebagai exco parti tersebut berlaku pada Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette