KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Johor menggesa semua pihak untuk mempamerkan sikap toleransi tinggi, rasional, terbuka dan tidak terburu-buru dalam membuat pernilaian dalam isu perobohan kuil Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar di Masai, Johor semalam.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kekeliruan sehingga memburukan keadaan.
“Kerajaan negeri sebenarnya memandang serius dan sangat bersimpati dengan perkara ini malah saya telah meminta segala fakta serta maklumat berkenaan kuil ini diperhalusi terlebih dahulu.
“Sebenarnya, walaupun kuil ini didaftarkan pada tahun 2007, namun ianya dibina tanpa mendapat kebenaran daripada pemilik sah tanah tersebut dan ia dilihat sebagai satu kes pencerobohan.
“Bagaimanapun, , pihak pengurusan kuil juga pernah mendapatkan pandangan dan mengadakan rundingan. Namun perbincangan itu tidak dipersetujui dan memaksa pemilik tanah menggunakan saluran undang-undang sebelum bertindak merobohkan tempat ibadat itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Khaled Nordin, kerajaan Negeri sendiri melalui wakil-wakil rakyat seperti Datuk Tan Cher Puk, bekas ADUN Johor Jaya dan Datuk M. M. Samy, bekas ADUN Permas serta Pihak Berkuasa Negeri berkaitan pernah menawarkan sebidang tanah baru.
“Namun pihak pengurusan kuil tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan berkeras untuk terus berada disitu sehingga memaksa pemilik tanah untuk menggunakan kuasa undang-undang bagi menyelesaikan isu ini.
“Sejak tahun 2015, pemilih sah tanah tersebut dilaporkan telah beberapa kali menghantar notis dan amaran kepada pihak pengurusan kuil berhubung perkara tersebut namun kita difahamkan tidak mendapat kerjasama,” tegasnya.
Tambah beliau, , kuil tersebut akhirnya dirobohkan oleh pemilik tanah tersebut selepas mendapat perintah mahkamah pada 31 Julai 2017.
“Kita tetap pandang serius terhadap insiden ini. Bagi kita perhalusi dulu dan cuba dapatkan situasi ‘win win’ bagi kedua-dua pihak dalam perkara ini. Kerajaan Negeri akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu perobohon kuil ini,” ujarnya.
Berdasarkan rekod Kerajaan Negeri, kuil yang dirobohkan tersebut didirikan di atas tapak Milik Persendirian di Lot 4907, Mukim Plentong, berdekatan Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam, Masai dengan pemilikan tanah tersebut didaftarkan pada tahun 1995.- MalaysiaGazette