PETALING JAYA – Pelawaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding di kerusi Parlimen Gombak hanyalah satu perangkap licik yang mahu melihat calon perdana menteri itu tewas.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Nor Omar berkata, ini kerana Mohamed Azmin kecewa selepas nama timbalan presiden Parti Keadilan (PKR) itu tidak terpilih sebagai calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan (PH).
“Mungkin Azmin tawar sebab dia tengok Gombak mungkin dia kalah, jadi kalau Tun M bertandaing di Gombak, Tun M akan kalah, (maka) Azmin ada peluang jadi perdana menteri.
“Mungkin Azmin nak Tun M kalah sebab Azmin kecewa nama dia tak tercalon sebagai bakal perdana menteri, jadi nak bagi Tun M kalah lah, macam Langkah Kajang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial NBOS Kejiranan Indah di Mentari Court, Taman Seri Mentari, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mohamed Azmin menerusi akaun Twitternya semalam yang sedia menyerahkan kerusi Parlimen Gombak kepada Mahathir pada PRU14.
Mohamed Azmin berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu boleh bertanding di kerusi yang disandangnya itu sekiranya PKR merestui cadangan tersebut.
Pelawaan itu timbul selepas hasrat menteri besar Selangor tersebut untuk tidak mempertahankan Parlimen Gombak pada PRU14 ‘bocor’ dan dilaporkan oleh sebuah portal tempatan pada 3 Januari lalu.
Portal itu juga melaporkan Mohamed Azmin dijangka bertanding di Shah Alam dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bertanding di Parlimen Hulu Langat yang mana kedua-dua kerusi itu pada masa ini disandang oleh wakil Pas.
Menurut portal itu, nama mereka dan dua kerusi Parlimen berkenaan dikemukakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya (JPR) Pakatan Harapan (PH) Selangor di Shah Alam pada 3 Januari lalu.
Mohamed Azmin yang juga timbalan presiden PKR kini penyandang kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa manakala Zuraida penyandang kerusi Parlimen Ampang. – MalaysiaGazette