Home Ekonomi Aktiviti gerudi meningkat, harga minyak susut

Aktiviti gerudi meningkat, harga minyak susut

SINGAPURA – Harga minyak merosot hari ini berikutan aktiviti penggerudian di Amerika Syarikat yang lebih tinggi, walaupun pengurangan bekalan oleh OPEC dan Rusia, selain permintaan kukuh memacu harga minyak mentah yang menghampiri paras tertinggi Disember 2014 pada minggu lalu.

Niaga hadapan minyak Brent berada pada paras AS$69.72 setong pada 0008 GMT, turun AS$0.15 sen atau 0.2 peratus dari harga penutup manakala West Texas Intermediate (WTI) pula didagangkan pada AS$64.27 setong, turun AS$0.03.

Minggu lalu, kedua-dua Brent dan WTI menyaksikan harga yang mencapai paras tidak dilihat sejak Disember 2014 – iaitu semasa  awal permulaan kemerosotan harga minyak.

ANZ Bank berkata, harga minyak telah meningkat baru-baru ini akibat disokong oleh data yang menunjukkan pasaran semakin ketat.

Meskipun kenaikan harga minyak ketara sejak Disember lalu, beberapa analisis telah memberi amaran tentang pembetulan ke arah penurunan.

Banyak percaya  pembetulan berlaku apabila harga minyak melepasi AS$60 kerana paras harga ini akan menggalakkan lebih banyak penggerudian syal Amerika Syarikat yang akan membawa kepada penawaran yang lebih tinggi,” kata William O’Loughlin, penganalisis pelaburan di Rivkin Securities Australia.

Syarikat-syarikat tenaga Amerika Syarikat menambah 10 pelantar minyak pada minggu ini hingga 12 Januari lalu kepada 752, menurut firma tenaga, Baker Hughes pada Jumaat.

Ia merupakan kenaikan terbesar sejak Jun 2017 dan ANZ Bank berkata lonjakan itu berlaku berikitan pengeluar syal dengan cepat bertindak balas terhadap kenaikan harga yang kuat pada tahun 2018. – MalaysiaGazette