LONDON – Harga minyak mentah mencapai kemuncak baru di London kerana OPEC menyeru ahli-ahlinya terus mengawal pengeluaran.
Seruan itu dibuat bagi meredakan kebimbangan berikutan lonjakan harga minyak baru-baru ini dikhuatiri melemahkan komitmen mereka.
Minyak mentah Brent ditutup melebihi AS$70 setong untuk pertama kalinya dalam tempoh tiga tahun selepas Menteri Minyak Iraq, Jabbar al-Luaibi, pada hari Sabtu mengatakan bahawa halangan pengeluaran telah menyumbang kepada kestabilan di pasaran dan sepatutnya kekal.
Penanda aras global hanya sekadar melepasi tahap utama minggu lepas.
Citigroup Inc., Societe Generale SA, dan JPMorgan Chase & Co. meramalkan gabungan pengeluar minyak dunia itu akan mula mengurangkan campur tangan mereka pada pertengahan tahun, sebelum tindakan selanjutkan dibuat pada bulan Disember.
Cadangan untuk mengekalkan pemotongan oleh Iraq “adalah satu lagi tanda bahawa pasaran akan naik,” kata Phil Flynn, penganalisis pasaran kanan di Price Futures Group Inc yang memaklumkan bekalan global, benar-benar mula ketat.
Harga minyak menyaksikan pemulihan dua tahun apabila OPEC dan sekutu-sekutunya mengurangkan bekalan untuk meredakan lebihan dunia.
Walaupun sepakat untuk meneruskan pengurangan bekalan sehingga akhir tahun ini namun OPEC dilihat lebih cenderung untuk memendekkan perjanjian jika pasaran sudah seimbang, menurut laporan JP Morgan.
Niaga hadapan Brent untuk bulan Mac naik sebanyak AS$0.39 sen kepada AS$70.26 setong pada pertukaran ICE Futures Europe yang berpangkalan di London, penutupan tertinggi sejak Disember 2014.
Harga naik 3.3 peratus minggu lepas. Penanda aras dunia minyak mentah didagangkan pada premium AS$5.40 hingga WTI Mac.
West Texas Intermediate untuk penghantaran Februari meningkat kepada AS$64.81 setong pada New York Mercantile Exchange.
Jumlah dagangan yang diniagakan adalah kira-kira 51 peratus di bawah purata 100 hari. Tiada penyelesaian hari Isnin kerana cuti Martin Luther King di Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette