Home Sukan Dembele cedera lagi, rehat sebulan

Dembele cedera lagi, rehat sebulan

Ousmane Dembele. Foto www.goal.com.

BARCELONA – Penyerang Ousmane Dembele ditimpa malang lagi apabila kembali mengalami kecederaan selepas berehat panjang sebelum ini.

Dembele mengalami kecederaan sejak September lalu sebelum pulih pada awal tahun ini.

Namun kecederaan terbaharu di bahagian hamstring juga bakal membuatkan Barcelona kehilangannya antara tiga hingga empat minggu.

Dembele yang dibeli dengan nilai £130 juta dari Borrusia Dortmund baru beraksi empat perlawanan dengan satu daripadanya sebagai kesebelasan utama.

Kecederaan terbaru pemain antarabangsa Perancis itu berlaku ketika aksi menentang Real Sociedad yang menyaksikan Barca menang 4-2.

Dalam kenyataan rasmi kelab Barcelona, kelab itu menjelaskan:

“Ujian telah pun disahkan dan menyatakan yang pemain (Dembele) telah megalami kecederaan di hamstring melibatkan otot semitendinosus.”

“Namun ia tidak melibatkan bahagian otot yang dibedah sebelum ini pada awal musim ini.”

Ia berita yang tidak digemari oleh penyokong Barcelona. Namun Barcelona berharap pemain itu dapat beraksi semula menghadapi pusingan kalah mati Liga Juara-Juara pada akhir bulan Februari ini.

Barcelona akan berhadapan dengan Chelsea pada perlawanan tersebut. Selain Dembele, seorang lagi bintang mereka, Phillipe Coutinho juga masih berehat kerana kecederaan.

Andreas Iniesta juga masih bergelut dengan kecergasan. Barcelona akan berhadapan dengan Real Betis dalam pusingan suku akhir Copa Del Rey 2018 pada 18 Januari ini.