RIYADH – Sebuah hotel mewah di Riyard yang digunakan sebagai penjara semasa Arab Saudi membenteras rasuah akan dibuka semula untuk perniagaan pada bulan depan, membayangkan pihak berkuasa negara itu hampir menyelesaikan kes-kes suspek yang terlibat.
Berpuluh-puluh putera raja, pegawai kanan dan ahli perniagaan ditahan di hotel lima bintang, Ritz-Carlton Riyard ketika kerajaan negara tersebut melancarkan operasi pembersihan pada awal November lalu.
Kira-kira 200 tahanan menghuni 492 bilik di hotel itu. Baki bilik yang tidak dihuni tidak dibuka untuk perniagaan.
Laman sesawang hotel itu kini menerima tempahan bermula 14 Februari ini, dengan sebut harga bilik termurah berharga Riyal 2,439 semalam, lapor The Telegraph.
Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, mereka menjangka kebanyakan suspek bersetuju untuk menyelesaikan dakwaan terhadap mereka dan Riyadh berharap memperolehi semula dana haram berjumlah kira-kira AS$100 bilion. Sebahagaian kecil daripada mereka akan didakwa.
Pada Sabtu lalu, syarikat pembinaan Arab Saudi, Binladin Group berkata, beberapa pemegang sahamnya mungkin memindahkan sebahagaian daripada pegangan kepentingan mereka sebagai penyelesaian dengan pihak berkuaa. Pengerusinya, Bakr bin Ladin dan beberapa ahli keluarga mereka ditahan dalam operasi pembersihan itu.
Pada akhir November lalu, Putera Miteb Abdullah, yang sebelum ini dilihat sebagai pesaing utama untuk menduduki takhta, dibebaskan selepas mencapai persetujuan dengan pihak berkuasa yang membabitkan pembayaran lebih daripada AS$1 bilion, menurut seorang pegawai.
Seorang lagi ahli perniagaan yang ditahan di Ritz Carlton, Putera Alwaleed bin Talal meruapakn pemilik firma pelaburan global, Kingdom Holding. Seorang pegawai Arab Saudi berkata, beliau telah berunding untuk menyelesaikan dakwaan yang dikenakan namun sehingga kini tiada persetujuan dicapai.
Terdapat desas desus mengatakan Talal yang merupakan salah seorang individu terkaya di dunia mungkin terpaksa membayar sehingga AS$7 bilion.
Arab Saudi sedang berhadapan dengan penyusunan semula politik dan ekonomi, dengan pelantikan Putera Mohammed bin Salman secara mengejut sebagai putera mahkota pada Jun lalu. – Agensi