PETALING JAYA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Pas mengumumkan pendirian parti tersebut sama ada menyokongnya sebagai Perdana Menteri daripada pembangkang atau menyebelahi Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, tindakan ini akan menentukan Pas akan terus kekal mentadbir Kelantan atau sebaliknya tanpa memerlukan pakatan sulit dengan UMNO seperti yang didakwa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin baru-baru ini.
“Kita nak tahu lah Pas ni dia nak bertanding, siapa calon Perdana Menteri dia. Calon Najib ke, dia calon saya ke. Jadi kita nak tahu. Kalau dia bagi tahu calon dia, saya ingat dia boleh menang kalau orang suka pada calon dia,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dikatakan telah membuat perbincangan sulit dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membenarkan parti itu terus menguasai Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.
Kadir mendakwa maklumat sulit itu diperolehi daripada seorang kenalan yang rapat dengan Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed yang membantah rancangan itu.
Selain itu, Mahathir berkata, kepimpinan Najib dalam Barisan Nasional (BN) turut diragui apabila terdapat ahli UMNO tidak menyukainya
“Itu lah kita pun tidak tahu sama ada Najib bakal memimpin Barisan Nasional (BN) atau tidak saya dengar orang UMNO tidak senang dengan Datuk Seri Najib ini,” tambahnya. -MalaysiaGazette