Home Utama Ingkar tegar bayar cukai disenarai CCRIS – LHDN

Ingkar tegar bayar cukai disenarai CCRIS – LHDN

Sabin Samitah (dua kiri) melakukan gimik pelancaran Task Force 2 Bilion sambil disaksikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Hasil Dalam Negeri, Datuk Mohd Nizom Sairi (dua kanan) di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 15 Dis. 2016.

ARIF NIZAM ABDULLAH 

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) secara serius bercadang menyenaraikan pembayar cukai yang ingkar dalam sistem rujukan maklumat kredit berpusat (CCRIS) mulai tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah berkata, cadangan bertujuan meningkatkan kadar pematuhan cukai semasa dan membendung aktiviti pelarian cukai.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas khususnya ke atas golongan pembayar cukai ingkar yang tegar.

“LHDN telah memberi pelbagai peringatan selain memberi peluang untuk mereka membayar cukai tertunggak secara ansuran.

“Namun golongan ini masih enggan membayar cukai biarpun terdapat persetujuan antara LHDN dan mereka sebelum ini.

“Justeru pada tahun depan, LHDN bercadang untuk menyenaraikan pembayar cukai yang ingkar kepada CCRIS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran operasi khas bersepadu Task Force 2 Bilion (TF2B 2017) di ibu pejabat LHDN di sini hari ini.

Mengulas cadangan itu mungkin dilihat sebagai keterlaluan, Sabin menjelaskan, LHDN terpaksa menggunakan pendekatan baharu berikutan golongan pembayar cukai ini telah diberi peluang yang secukupnya selama ini.

“LHDN tidak berniat menyusahkan mereka dengan menyenaraikan kepada CCRIS  kerana memberi telah diberi peringatan, dipanggil berbincang dan diberi peluang untuk membayar secara ansuran.

“Cadangan ini adalah demi keadilan kepada semua rakyat yang telah membayar cukai dengan mematuhi peraturan bayaran yang telah dikenakan,” katanya.

Sementara itu, mereka yang tersenarai dalam CCRIS akan mempengaruhi penilaian oleh pihak bank berhubung pinjaman.

Ini menyebabkan mereka yang tersenarai akan menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman bank dan kad kredit.

Buat masa ini, mana-mana pembayar cukai yang gagal membayar tunggakan cukai mereka walaupun notis peringatan diberikan akan dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara di bawah peruntukan Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976. — MalaysiaGazette