GEORGE TOWN – Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang tidak bercakap benar dalam urusan melibatkan pembayaran projek terowong dasar laut.
Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata kerajaan negeri mendakwa satu sen pun belum dibayar untuk projek terowong dasar laut tetapi dalam jawapan kepada Dewan Undangan Negeri pada 2 Nov lepas, kerajaan DAP Pulau Pinang memaklumkan RM11.2 juta dibayar secara tunai kepada sebuah syarikat perunding teknikal.
Beliau mendakwa syarikat perunding teknikal itu dilantik oleh kerajaan negeri untuk menyemak dan memperakui tuntutan pembayaran yang dibuat oleh kontraktor projek terowong dasar laut.
“Kerajaan DAP Pulau Pinang mendakwa tidak satu sen pun dibayar tetapi menerusi pertukaran tanah…sekarang setiap satu sen telah dibayar dan tanah sudah dipindah milik menyebabkan kepentingan rakyat Pulau Pinang terkorban.
“Bolehkah kerajaan negeri ini menjelaskan dengan jujurnya tentang pembayaran yuran perunding sebanyak RM11.2 juta semata-mata hanya untuk kerja-kerja menyemak dan memperakui pembayaran tuntutan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.- BERNAMA