PUTRAJAYA – Wanita di negara ini harus diberi tanggungjawab setara dengan kaum lelaki dalam memastikan golongan itu mampu untuk menyerlahkan keterlibatan mereka merentasi segenap sektor.
Itu gesaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan beriltizam meninggikan martabat wanita di negara ini.
Justeru katanya, salah satu langkah yang akan difikirkan kerajaan iaitu dengan mencari jalan untuk menggilap potensi wanita dan tidak seharusnya dijadikan garis pemisah gender antara lelaki dan wanita.
“Wanita Malaysia seharusnya dapat digilap potensi mereka dan berada pada kedudukan yang tiada garis pemisah gender.
“Saya berharap agar Tahun Memperkasakan Wanita (TMW18) mendapat sokongan padu dan menggalakkan penglibatan daripada semua agensi, NGO dan setiap daripada wanita Malaysia dapat menjadikan tahun ini sebagai tahun yang paling gemilang,” katanya kepada media hari ini.
TMW2018 disempurnakan perasmiannya oleh Perdana Menteri di Perdana Putra hari ini.
Program ini kata Rohani bertepatan dengan hasrat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memastikan inklusiviti terhadap wanita selain berdaya saing di peringkat global.
“Saya menyeru agar semua agensi kerajaan, korporat, NGO dan seluruh pihak menggunakannya bagi melambangkan kesepaduan dalam pelaksanaan program-program memperkasa wanita,” katanya lagi.
Dalam majlis yang sama, TMW2017 turut mengangkat tiga ikonnya sebagai penggerak dan pemacu program itu.
Antaranya adalah Tengku Datin Paduka Setia Zatashah yang aktif dalam aktiviti kesukarelawan, usahawan e-commerce dan pemilik Fashion Valet, Vivy Yusuf serta selebriti terkenal, Neelofa.
Turut dilancarkan laman sesawang rasmi TMW18 yang boleh dicapai melalui www.tmw18.gov.my.
Ia dibangunkan bagi memantau segala bentuk program dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kementerian dan agensi. -MalaysiaGazette.