KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilaporkan kini sedang berehat selama sebulan selepas menjalani pembedahan membuang tumor.
Namun Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pula sibuk mahu melawat ‘sahabat karibnya’ itu dalam masa terdekat.
Memetik laporan MalaysiaKini, Kit Siang akan kembali ke arena politik pada 27 Januari depan selepas berehat dari pembedahan.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Mahathir sebelum ini kecewa kerana gagal untuk bertemu Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bekas timbalannya pada 1998.
Pada 10 Januari lalu, Mahathir ingin membuat lawatan terhadap Anwar yang kini menjalani rawatan di Hospital Rehabilisasi Cheras.
Mahathir yang tiba di perkarangan Unit Kemasukan Pesakit Wad pada jam 4.15 petang itu dilihat menunggu untuk melawat Anwar bersama anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar.
Bagaimanapun, Mahathir gagal untuk bertemu dengan Anwar kerana tidak mendapat kebenaran Jabatan Penjara Malaysia.
“Saya kecewa kerana tidak dibenarkan melawat, saya tidak dapat jumpa kerana diberitahu ada arahan supaya saya tidak boleh berjumpa dengan Anwar.
“Saya sedih kerana saya cuma ingin berjumpa beliau untuk mengucapkan terima kasih kerana tidak membantah, malah menyokong saya sebagai calon Perdana Menteri”, kata Mahathir.
Disember lepas, Kit Siang didiagnosis menghidap kanser tahap satu dan menjalani pembedahan untuk membuang tumor kecil pada buah pinggang kirinya.
Selepas lebih tiga minggu berlalu, Mahathir tidak pula beriya-iya mahu melawat Kit Siang yang turut sudi menerima Mahathir menyertai pakatan pembangkang sebelum ini. -MalaysiaGazette.