Home Ekonomi Masnizam dilantik CEO baharu Prasarana

Masnizam dilantik CEO baharu Prasarana

Masnizam Hashim, CEO Prasarana Malaysia Bhd.

KUALA LUMPUR- Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) melantik Masnizam Hashim sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa serta-merta.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, Masnizam yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management and Engineering Services Sdn. Bhd. (PRIME), anak syarikat milik penuh Prasarana adalah calon yang tepat untuk menggantikan Datuk Seri Azmi Aziz yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.

Masnizam telah berkhidmat selama 12 tahun dari tahun 2005 sebagai Ketua Bahagian Perundangan dan Setiausaha Syarikat di RapidKL dan pernah terlibat sebagai Ketua Bahagian Perolehan Kumpulan, Ketua Bahagian Komunikasi dan Pemasaran Strategik serta Ketua Pegawai Perkhidmatan Infrastruktur Prasarana.

Sebagai CEO PRIME, beliau bertanggungjawab dalam memastikan kejayaan Projek Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro-Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi, latihan pekerja MRT Jakarta dan pembangunan infrastruktur Prasarana termasuk perolehan tren, bas dan pembinaan depot.

Pelantikan beliau juga adalah bertepatan dengan pertambahan peranan Prasarana yang melibatkan pengoperasian LRT, Monorail, MRT, Bus Rapid, Feri Pulau Pinang serta Rapid Transit System (RTS) yang melibatkan Kerajaan Malaysia dan Singapura.

“Dengan pelantikan ini, adalah diyakini bahawa beliau berupaya untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan pengurusan serta operasi Prasarana dapat diteruskan dan dipertingkatkan.

MKD merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Azmi  yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana sebelum ini,” katanya.-MalaysiaGazette