Home Politik Kata PPBM sokong calon PH tapi ahli sendiri tolak Tun M

Kata PPBM sokong calon PH tapi ahli sendiri tolak Tun M

Muhyiddin mendesak kerajaan mengundang pasukan pemantau pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan PBB memantau perjalanan PRU-14.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata, parti itu akan menerima sesiapa sahaja calon pembangkang yang akan mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

Ujarnya, PPBM perlu menyokong calon daripada gabungan tersebut bagi membolehkan calonnya disokong komponen parti Pakatan Harapan (PH) dan juga di peringkat akar umbi.

“Prinsip PPBM, siapa bertanding atas Pakatan Harapan samada DAP, Parti Amanah Negara (PAN) mahupun PKR, kita sokong 100 peratus.

“Kita sudah janji kita tidak akan boikot, itu satu rancangan bodoh dan membunuh diri, kalau kita boikot (calon) mereka, mereka dan juga parti-parti mereka akan boikot parti kita dan calon kita akan kalah,” katanya baru-baru ini.

PPBM memperoleh 52 kerusi parlimen untuk dipertandingkan dan rata-ratanya adalah kerusi yang akan dipertandingkan oleh UMNO.

Namun minggu lalu, PPBM menerima tamparan hebat apabila pencalonan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku calon Perdana Menteri dibantah ahlinya.

Ketua Pemuda PPBM Pahang, Raja Mohd Azlan Raja Omar secara peribadi berkata, pencalonan Mahathir selaku calon PM PH tidak sesuai, sebaliknya gabungan itu memerlukan calon yang lebih muda dan berkaliber.

Malah PPBM negeri itu turut menolak pencalon Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku calon Timbalan Perdana Menteri PH sekiranya berjaya menakluki Putrajaya pada PRU-14 kelak. -MalaysiaGazette.