KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai Biro Tata Negara (BTN) bertindak memfailkan saman fitnah terhadap tiga individu termasuk seorang bergelar ‘datuk’ kerana didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di laman sosial terhadap dirinya.
Mohd Fadzli Che Harun, 33, bertindak demikian ekoran dakwaan yang mengaitkan beliau dengan aktiviti penebangan dan penjualan balak di Kem BTN Ulu Sepri, dekat Rembau Negeri Sembilan.
Melalui tindakan itu beliau membuat tuntutan ganti rugi sebanyak RM200,000.
Menurutnya, saman tersebut difailkan atas nama individu-individu terbabit iaitu Ketua Pengarah BTN, Datuk Ibrahim Saad, penulis blog kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo dan Dg Sabrina Pg Jaafar.
“Tindakan undang-undang ini dibuat bagi menjaga nama baik saya yang sengaja difitnah dan diaibkan melalui kenyataan serta mesej yang disebarkan.
“Mereka sengaja mereka cerita semata-mata mahu memburukkan yang secara jelas mengaibkan maruah saya dan keluarga,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Fadzli berkata, kenyataan fitnah itu telah disebarkan menerusi posting di Facebook Wan Muhammad Azri mula-mula dimuat naik pada 20 Februari tahun lalu.
Katanya, satu laporan polis telah dibuat pada 19 Disember lepas dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun katanya, keterangan terperinci tidak dapat diperjelaskan ekoran kes itu kini sedang dalam siasatan polis.
“Ingin saya tegaskan bahawa tindakan undang-undang ini tidak melibatkan agensi yang berkenaan sebaliknya ia dibuat ke atas nama-nama individu terbabit sahaja,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Fadzli berkata, beliau membiarkan hampir setahun berhubung perkara itu kerana mahu memberi peluang kepada mereka untuk memperbetulkan tuduhan yang dibuat.
Namun, hanya Datuk Ibrahim sahaja yang memberikan respons terhadap perkara itu dengan menjawab notis tuntutan tersebut pada 2 Januari lalu serta menafikan tuntutan yang dibuat melalui peguamnya, sementara dua lagi individu yang dinamakan hanya mendiamkan diri.
Sementara itu peguamnya, Akmal Jusoh memberitahu, tindakan yang diambil terhadap individu-individu terbabit adalah berkaitan sivil melalui ganti rugi terhadap fitnah yang dilemparkan.
satu lagi tindakan yang diambil adalah berkaitan jenayah dan perkara itu diserahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan di atas laporan yang telah dibuat.
“Kalau polis tidak mengambil tindakan ia tidak menghalang untuk kita membuat tindakan sivil ataupun salah satu.
“Mohd Fadzli bersedia untuk bertemu dengan mereka (individu terbabit) untuk berbincang bagi membersihkan nama baik beliau.
“Hal ini kerana pernyataan-pernyataan tersebut telah mencemarkan nama baik, reputsai dan imej beliau dsebagai bekas penjawat awam yang pernah bertugas sebagai pengurus kem BTN,” ujarnya. – MalaysiaGazette