TAPAH – Seorang pemandu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian pada Oktober tahun lalu.
Muhamad Eizat Hazmi, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kenderaan secara melulu sehingga menyebabkan kematian sembilan individu di KM45 Jalan Ipoh-Teluk Intan pada kira-kira 6.45 pagi pada 28 Okt 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda hingga RM20,000 serta penggantungan lesen memandu, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM6,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 27 Feb depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Farahiyah Nadzri, manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sindhu.
Pada 28 Okt lalu, seramai sembilan termasuk lapan wanita berusia antara 32 dan 82 tahun maut selepas van pekerja yang sedang membawa mereka ke tempat kerja di sebuah ladang berhampiran, tiba-tiba bertembung dengan sebuah lori membawa ais yang dipandu Muhamad Eizat.
— BERNAMA