KUALA LUMPUR – Penyusunan semula pemilikan dalam pembangunan Stesen Janakuasa Battersea (BPS) merupakan keputusan pelaburan yang dilaksanakan tanpa sebarang campur tangan kerajaan.
Sebaliknya, ia dimulakan oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanan BPS, bersama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Ini kerana, KWSP dan PNB melihat ia adalah peluang strategik untuk memiliki aset hartanah unik dan ikonik yang dijangka boleh menjana aliran pendapatan yang mapan pada masa hadapan bagi memenuhi keperluan pendapatan masing-masing.
KWSP dan PNB dalam kenyataan bersamanya telah mengesahkan telah menandatangani terma utama (HoT) dengan Battersea Phase 2 Holding Company Limited bagi memulakan rundingan awal untuk memperoleh aset komersial dalam Fasa 2 BPS pada harga sebanyak RM8.76 bilion (1.608 bilion pound).
HoT tersebut adalah perjanjian yang tidak terikat dan kesemua syarat dan terma tertakluk kepada proses ketekunan wajar dan perbincangan selanjutnya.
“KWSP dan PNB terus teguh dan komited dalam mendokong kepercayaan ahli-ahli dan pemegang unit masing-masing, dan sebarang tanggapan bahawa keputusan pelaburan telah dibuat berasaskan sebab-sebab, selain daripada untuk manfaat
rakyat Malaysia adalah palsu dan berniat jahat,” kata KWSP dan PNB dalam kenyataan itu.
KWSP adalah sebahagian daripada konsortium pemaju yang terdiri daripada SP Setia dan Sime Darby dalam pembangunan BPS yang telah bermula sejak 2012, dengan keseluruhan pembangunan merangkumi Fasa 1 sehingga Fasa 7.
Pemilikan langsung KWSP adalah 20 peratus daripada pembangunan BPS dan penyusunan semula ini tidak akan menjejaskan pegangan saham KWSP dalam pembangunan
keseluruhan yang sedia ada.
PNB pula adalah pemegang saham majoriti dalam S P Setia dan Sime Darby Property yang mempunyai pemilikan bersama sebanyak 80 peratus saham dalam pembangunan BPS tersebut.
Pembangunan Fasa 1 BPS merangkumi sebahagian besar unit kediaman, telah disiapkan dengan kadar pendaftaran pembelian mencecah 100 peratus dan berjaya diserahkan kepada pembeli pada suku tahun terakhir 2017.
Komponen unit kediaman Fasa 2 telah hampir 100 peratus habis dijual.
Menurut kenyataan itu, modal permulaan yang dilaburkan ke dalam projek tersebut oleh konsortium pemaju telah dilaburkan semula untuk tujuan memajukan fasa-fasa seterusnya.
“KWSP dan PNB kini mempertimbangkan untuk memperolehi pemilikan dalam Fasa 2 pembangunan BPS – yang dikenali sebagai bangunan janakuasa yang menjadi teras kepada projek utama yang merangkumi premis runcit dan pejabat,” tambah KWSP dan PNB.
Fasa 2 pembangunan projek ini dijangka siap menjelang hujung tahun 2020 dan telah pun disewakan kepada penyewa utama seperti Apple, salah satu daripada syarikat teknologi terkemuka di dunia, seluas 500,000 kaki persegi – iaitu ruang pejabat yang paling besar di London.
Ia merupakan langkah permulaan ke arah masa depan yang memberangsangkan bagi bakal pelabur pembangunan BPS.
Harga belian masih tertakluk kepada usaha ketekunan wajaran telah dirangka berdasarkan bangunan siap disewa, agar dapat memberi pulangan jangka panjang bagi para pelabur.
Selaras dengan program diversifikasi syarikat sejak kebelakangan ini, KWSP telah giat memperluaskan aset hartanah dan infrastrukturnya di dalam dan luar negara bagi menjana pendapatan jangka panjang mapan bagi manfaat ahli.
Transaksi yang dicadangkan adalah selaras dengan Pelan Strategik STRIVE-15 PNB yang menggariskan strategi jangka panjang untuk mempelbagaikan portfolio dan peluasan
pelaburan dalam aset global secara berhemah. – MalaysiaGazette