Home Politik Silap besar Tun M hina graduan – Mas Ermieyati

Silap besar Tun M hina graduan – Mas Ermieyati

Sebahagian perwakilan bersorak ketika Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Pelancaran Azalea 2018: Sahabat Puteri BN di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan kesilapan besar apabila menghina graduan yang menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Grab atau Uber untuk menambah pendapatan mereka.

Demikian kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sambil menyifatkan penghinaan itu sebagai satu tindakan yang tidak bijak oleh seorang negarawan.

“Saya rasa memang silap besar dia (Mahathir) berkata sedemikian. Hari ini kita tengok ramai orang malahan akauntan pun bawa Uber dan Grab, saya rasa tak salah pun mereka nak menambah pendapatan sampingan.

“Kita tengok hari ini rakyat Malaysia pun suka dan ada pilihan daripada naik teksi atau kereta sewa, mereka boleh mengambil Uber atau Grab,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sahabat Puteri Barisan Nasional (BN) atau Azalea 2018 di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan itu di akaun Facebooknya pada Rabu yang menyifatkan semakin ramai graduan menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber sebagai memalukan serta kegagalan kerajaan.

Mahathir juga mendakwa ia bukan sahaja memalukan bahkan dua kerjaya itu menunjukkan kerajaan sendiri gagal menyesuaikan bidang kemahiran graduan dengan peluang kerja.

Mas Ermieyati berkata, tidak salah graduan memilih kerjaya sebagai usahawan makanan atau penyedia perkhidmatan pengangkutan sebagai kerjaya selepas tamat pengajian di universiti.

“Jadi peluangnya banyak. Apa salahnya untuk wanita, saya tengok wanita pun ambil peluang jadi pemandu Grab dan Uber.

“Bagi wanita muda, saya rasa hari ini kita patut fikirkan pelbagai kaedah lain untuk kita menambahkan pendapatan dan itu tidak salah,” katanya. – MalaysiaGazette