KUALA LUMPUR – Program Realiti RBC Mencari CEO Desa anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan diteruskan pada tahun ini susulan kejayaannya mengangkat usahawan luar bandar ke pasaran antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mengharapkan menerusi program itu, ia dapat menanam minat golongan belia untuk terlibat dalam bidang keusahawanan.
“Walaupun kita lihat kejayaannya, tapi ia merupakan siri yang pertama, untuk program ini menerusi progam realiti tv.
“Kita akan buat post mortem nanti, kita akan tengok apa yang perlu kita perbaiki dan sebagainya, kita akan teruskan,” katanya pada sidang media selepas program Realiti RBC Mencari CEO Desa peingkat akhir di Istana Budaya, di sini, hari ini.
Ismail Sabri juga berkata, program realiti itu bukan sahaja mencari bakat juara bahkan peserta-peserta berpeluang memperkenal dan mempromosikan produk masing-masing secara langsung di kaca televisyen.
“Tiada siapa tahu tentang perniagaan yang mereka laksanakan dan masyarakat hanya tahu apabila diumumkan pemenang di akhir rancangan.
“Tapi kali ini berbeza, iaitu setiap minggu peserta yang terlibat akan diberikan ruang untuk dikenali oleh semua orang yang bersiaran di TV3 sebanyak 13 minggu, setiap minggu jam 5.30 di TV3,” katanya.
Ditanya tentang hala tuju peserta yang memenangi kategori yang dipertandingan, beliau berkata, pihaknya akan terus membantu mereka khususnya peserta yang mempunyai perniagaan sedia ada.
“Kita akan terus membantu mereka menerusi pelbagain agensi kerajaan bukan sahaja KKLW bahkan banyak lagi bersesuaian dengan bidang perniagaan mereka termasuk MARA.
“Malah kita juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain di bawah kementerian-kementerian lain seperti MATRADE akan membantu bawa produk mereka hingga ke luar negara.
“Bukan bermakna kita beri mereka RM1 juta hadiah, tidak bermakna kita lepaskan mereka begitu sahaja, sebaliknya kita akan terus bantu, bimbing mereka supaya produk mereka akhirnya memasuki pasaran antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette