Home Nasional TKC terima sumbangan bas kedua dari PM

TKC terima sumbangan bas kedua dari PM

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Karnival MGC/TKC Walk A Run anjuran Tunku Kurshiah College Old Girls Association di Stadium Arena Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Kolej Tunku Kurshiah (TKC) hari ini menerima sumbangan bas kedua yang dihadiahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Penyampaian bas jenis Coaster yang mampu memuatkan 25 penumpang itu disampaikan oleh Rosmah sendiri yang juga alumni TKC pada Majlis Karnival TKC Walk-A-Run 2018 di Universiti Malaya hari ini.

Ia merupakan bas kedua selepas Mei tahun lalu dimana TKC juga menerima sumbangan sebuah bas.

Presiden Alumni Murid-Murid Tua TKC (TKC OGA), Tan Sri Rafiah Salim menghargai sumbangan tersebut dan melahirkan rasa penghargaan kerana bas tersebut dapat membantu urusan sekolah tersebut.

“Dengan sumbangan bas Coaster, kita harap boleh meningkatkan pembangunan sukan TKC dan dijadikan kenderaan rasmi peserta sukan dalam bilangan kecil seperti hoki dan bola jaring,” katanya.

Sementara itu, penganjuran hari ini berjaya mengutip lebih RM120,000 sumbangan untuk memulihara kemudahan sukan Arena Sukan Tunku Arishah (TASA) di Kolej Tunku Kurshiah (TKC) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan berharga kira-kira RM4.2 juta.

Karnival TKC Walk-A-Run 2018 adalah karnival kedua dianjurkan Organisasi Old Girls (OGA) TKC bermula dari 7 pagi hingga 11 pagi.

Karnival dianjurkan setiap dua tahun berkenaan menghimpunkan pelbagai aktiviti kesukanan seperti larian atau berjalan sejauh lima kilometer, tarian poco-poco, senamrobik dan zumba. – MalaysiaGazette