KUALA LUMPUR – Kira-kira seramai 30 orang ahli Persatuan Alumni Universiti Malaya Mahasiswa Pahang (PAUTAN) dan NGO-NGO lain telah mengambil bahagian di dalam Ops Skuad Prihatin Banjir 2018 di lima buah pusat pemindahan banjir di daerah Pekan, Pahang baru-baru ini.
Program yang dinamakan Advokasi Kesihatan Dan Ancaman Penyakit Berkaitan Banjir Dan Penyerahan Kit Bencana/Kesihatan ini telah bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir jam 7.00 malam.
Program NGO PAUTAN itu telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, NADMA, Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, dan turut dibantu oleh NGO-NGO lain iaitu PPTD, Central Preppers Unit, PRADAS dan Majlis Belia Daerah Pekan.
Sebahagian Kit Bencana/Kesihatan diserahkan kepada Tok Empat dan Guru Besar SK Sinar Mutiara.
Antara pusat pemindahan yang dilawati adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, SK Kg Acheh, SK Sinar Mutiara, SMK Peramu Jaya dan Pusat Pemindahan Banjir Kg. Lamir.
Sepanjang program ini, sebanyak 400 beg kit bencana/kesihatan telah diserahkan kepada wakil keluarga yang terlibat dengan banjir.
“Kit Bencana/Kesihatan ini mengandungi lampu suluh, alatan serba guna, wisel, berus dan ubat gigi, tuala wanita, tisu basah, dan ubat-ubatan,” kata Pengurus Projek, Rudy Eruwan Jamain.
Menurut beliau, PAUTAN seterusnya menyasarkan untuk menyerahkan 400 lagi kit bencana/kesihatan kepada 400 keluarga di daerah Bera dan Rompin yang juga dilanda banjir pada masa ini.
Beliau turut mengharapkan agar pihak korporat atau individu yang berhasrat untuk menjadi penaja kit berkenaan tampil menghubungi beliau.- MalaysiaGazette