Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata parti itu mengambil pendekatan untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) terlebih dahulu sebelum mengumumkan calon perdana menteri pilihannya.
Beliau turut menempelak Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang seakan-akan cuba memaksa PAS menamakan calon perdana menteri lebih awal seperti yang dilakukan pakatan pembangkang itu.
“PAS sudah kira-kira 67 tahun menjadi parti pembangkang, bukan seperti dia (Dr Mahathir) yang baharu sehari dua keluar UMNO kerana tidak mendapat apa yang dia nak. Dia jadi pembangkang bukan atas prinsip atau perjuangan tetapi atas sebab kepentingan peribadi.
“Sekarang beliau cuba paksa PAS untuk umum calon perdana menteri, menang dahulu baru kami umum calon. Ini belum apa-apa dah gaduh, umpama ikan belum beli tetapi sudah bergaduh hendak masak gulai atau tempoyak,” katanya ketika berucap melancarkan Himpunan Fastaqim 2.4 parti itu di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kira-kira 1,000 anggota parti itu.
Selasa lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia mencabar PAS menamakan calon perdana menteri mereka sebelum PRU14.
Bekas perdana menteri itu dilaporkan membuat cabaran tersebut ketika menjawab ura-ura PAS dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentuk satu ‘pakatan sulit’ di Kelantan untuk memudahkan kemenangan PAS pada pilihan raya nanti.
Sebelum ini, Pakatan Harapan mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.
Dalam ucapannya, Idris turut menyindir tindakan Pakatan Harapan memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sedangkan sebelum ini gabungan pembangkang itu pernah menuntut supaya bekas perdana menteri itu berundur ketika krisis melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dulu ketika pemerintahan Dr Mahathir, mereka (DAP dan PKR) laung ‘mahazalim’, undur Mahathir, undur Mahathir, reformasi, reformasi, sekarang bila dia (Mahathir) dah berundur, DAP dan PKR pula yang naikkan dia balik,” katanya.- BERNAMA