KABUL – Selepas enam belas jam bertempur, akhirnya tentera khas Afghanistan berjaya mengakhiri serangan di Hotel Intercontinental yang menyaksikan lima orang awam maut.
Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.
Al Jazeera melaporkan, pihak berkuasa kini berada dalam hotel berkenaan untuk melakukan siasatan.
“Kita tahu serangan itu berlaku dari bilik ke bilik, kita tahu banyak tetamu menghabiskan waktu yang menakutkan selama semalaman dengan bersembunyi di bilik mereka ketika serangan berlaku.
Hotel yang memiliki sekitar 200 bilik semuanya telah ditempah untuk petang Sabtu, menurut media itu.
Enam orang cedera dalam serangan itu, manakala 153 yang lain, termasuk 41 warga asing, dipindahkan, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Najib Danish memberitahu Al Jazeera.
“Kami menemui sekurang-kurangnya empat mayat penyerang dalam operasi pembersihan dalam bangunan tersebut,” katanya kepada Al Jazeera.
Dalam kejadian malam Sabtu lalu, empat lelaki bersenjata api telah menyerang hotel berkenaan yang terletak di atas bukit di Bagh-e-Bala, menyebabkan berlaku serangan balas oleh pasukan keselamatan negara itu.
Pertempuran berlaku sehingga pagi Ahad.
Kementerian Dalam Negeri berkata, sebuah firma swasta bertanggungjawab terhadap keselamatan hotel kini sedang menyiasat bagaimana penyerang berjaya memasuki bangunan yang sering dikunjungi oleh pegawai kerajaan dan warga asing.
Pada masa serangan itu, sekurang-kurangnya 34 pegawai daerah berkumpul di hotel untuk menyertai persidangan yang dianjurkan oleh Kementerian Telekomunikasi.
Insiden itu berlaku beberapa hari selepas Kedutaan Amerika Syarikat di Kabul mengeluarkan peringatan mengatakan kumpulan bersenjata mungkin merancang serangan terhadap hotel di bandar.
Ia merupakan serangan kedua di hotel yang sama selepas tahun 2011. – MalaysiaGazette