HANG ZHOU – Dianshi Touzi Sdn. Bhd. dari China dan Bornion Timber Sdn. Bhd. mengumumkan untuk menanam 100,000 pohon pokok durian melalui pelaburan bernilai RM120 juta di Keningau, Sabah.
Perkara itu diumumkan dalam satu persidangan mengenai inisiatif Belt and Road yang diadakan di China.
Sinchew Daily melaporkan, Malaysia mengeluarkan 330,000 tan durian setahun sedangkan warga China mampu membeli 350,000 tan durian pada masa ini.
Tambahan pula hanya satu peratus daripada populasi China yang besar itu pernah merasakan buah durian.
Penanaman pokok durian sekali gus menawarkan potensi yang besar khususnya di pasaran China.
Ditanya sama ada durian hanyalah trend “hangat-hangat tahi ayam” di China, pengasas Dianshi Touzi, Guo Xiaokun berkata, “mereka yang pernah merasa durian dan menyukainya akan terus memilih untuk makan.”
“Permintaan untuk durian akan terus meningkat sedangkan penawarannya tidak.
“Pokok durian memerlukan masa tujuh tahun untuk membesar dan menghasilkan buah,” katanya.
Xiaokun berkata, keadaan itu juga mendorong syarikatnya pada masa ini membeli durian secara pukal dari Malaysia dan menjualnya di China dalam bentuk durian sejuk beku.
Katanya lagi, China pada masa ini tidak mengimport durian mentah dari Malaysia kerana bekalan dari negara ini yang terhad dan hanya mampu menampung permintaan tempatan dan Singapura.
“Selain itu, tempoh simpanan durian Musang King secara bandingannya adalah lebih pendek. Keadaan ini menyumbang kepada penambahan kos pengangkutan,” katanya.
Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian sebelum ini berjanji akan membantu eksport durian mentah ke China.
Sambutan warga negara tembok besar itu terhadap durian Malaysia telah mencuri perhatian media asing yang cenderung melihatnya sebagai “diplomasi durian” antara kedua-dua negara. – MalaysiaGazette