
KUALA LUMPUR – Datuk Azhar Abdul Hamid yang dilantik sebagai Pengerusi Felda Global Ventures (FGV) sejak empat bulan lalu menafikan dirinya menerima amanah khas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketika ditanya sama ada diamanahkan untuk menjadi “anggota bomba dan penyelamat” dalam FGV semasa pelantikan dibuat, Azhar ketawa dan berkata, “tidak, mereka (kerajaan) hanya bertanya sama ada saya sanggup menjadi Pengerusi FGV.”
“Bagi kerajaan, FGV ialah entiti komersial yang kukuh. Ini juga hasil yang diinginkan kerajaan.
“Felda dapat menjadi baik jika FGV diuruskan dengan baik,” katanya dalam wawancara dengan China Press.
Dalam temu bual itu, Azhar juga menjelaskan FGV bukan anak syarikat Felda, tetapi Felda yang memiliki 32.4 peratus syer ialah pemilik syer utama FGV.
Katanya, walaupun FGV mempunyai hubungan yang tidak dapat dipisahkan dengan Felda, tetapi masing-masing juga merupakan entiti berdikari.
Menurutnya, pihak luar bagaimanapun saling mengaitkan FGV dengan sayap pelaburan Felda iaitu Felda Investment Corporation (FIV) malahan gagal membezakan logo dua entiti itu.
Keadaan itu, kata Azhar, menyebabkan harga saham FGV menerima tempias daripada isu kontroversi membabitkan Felda walaupun FGV tidak mempunyai kaitan dengan isu berkenaan.
Azhar berkata, FGV akan membuat analisis secara menyeluruh sebelum melakukan apa-apa jua pelaburan untuk mengelakkan dikaitkan dengan politik.
Katanya, walaupun FGV ialah syarikat milik kerajaan (GLC), tetapi ia juga merupakan entiti perniagaan yang biasa.
“Memang wujud unsur politik, tetapi keadaan ini sudah berkurangan,” katanya. – MalaysiaGazette