Home Utama Etnik Rohingya tidak akan dibiarkan

Etnik Rohingya tidak akan dibiarkan

Ahli keluarga sukarelawan melambaikan tangan ke arah ahli keluarga mereka yang berlepas menyertai misi kemanusian Rohingya ke Myanmar di Pelabuhan Barat Klang, Selangor. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 3 FEBRUARI 2017.

PELABUHAN KLANG – Malaysia tidak akan membiarkan penderitaan dan kesengsaraan etnik minoriti Islam Rohingya yang kini berhadapan dengan penghapusan kaum di wilayah Rakhine, Myanmar berterusan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak lain komited untuk berusaha membantu etnik itu sehingga berjaya.

Jelasnya, suara rintihan etnik Islam Rohingya didengari rakyat negara ini sebaik sahaja penderitaan mereka dibunuh, dibakar dan diperkosa diketahui umum.

“Saya hendak nyata, cukup-cukuplah penderitaan ke atas etnik Islam Rohingya.

“Sebab itu kita bangkitkan isu mereka di Perhimpunan Agung UMNO yang lalu selain disusuli dengan Himpuna Solidariti Ummah Rohinya di Taman Tasik Titiwangsa yang dihadiri kedua pemimpin utama parti UMNO dan Pas.

“Lepas itu, saya minta diadakan mesyuarat tergempar OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) diadakan di Kuala Lumpur untuk nyatakan dengan jelas isu Rohingya ini.

“Sekarang kita susuli lagi dengan penghantaran bantuan dan sumbangan makanan dan perubatan ke sana,” katanya.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man bersama-sama membuat 'flag off' sebagai gimik melancarkan kapal Nautical Aliya yang berlepas bagi misi kemanusian Rohingya ke Myanmar pada pelancaran misi kemanusian Food Flotilla For Myanmar di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Barat Klang, Selangor. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 03 FEBRUARI 2017.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man bersama-sama membuat ‘flag off’ sebagai gimik melancarkan kapal Nautical Aliya yang berlepas bagi misi kemanusian Rohingya ke Myanmar pada pelancaran misi kemanusian Food Flotilla For Myanmar di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Barat Klang, Selangor. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 03 FEBRUARI 2017.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelepasan misi pelayaran Food Flotilla For Myanmar di Bousteard Cruise Centre, Pulau Indah di sini hari ini.

Misi Food Flotilla For Myanmar membabitkan kapal Nautical Aliya dengan 200 aktivis dari lapan negara yang membawa 1,500 tan bantuan makanan dan ubat-ubatan ke wilayah Rakhine.

Misi yang diketuai Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim itu akan belayar selama 20 hari sebelum kembali ke tanahair.

Misi Food Flotilla For Myanmar anjuran KP1M dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Mengulas lanjut Najib berkata, misi itu merupakan detik bersejarah kerana telah menjadi lambang perpaduan ummah di negara ini.

Beliau berkata, ia merupakan satu usaha murni yang diketuai UMNO dengan mendapat kerjasama Pas bersama puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya juga terharu dengan semangat sukarelawan yang menyertai misi ini dengan kerelaan hati.

“Malah ada yang sanggup mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM200 untuk menyertai misi ini,” katanya.

Sebelum majlis itu, Najib bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menunaikan solat Jumaat diikuti solat hajat di Masjid Nur Amin di sini sebelum ke lokasi majlis pelepasan.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, misi itu akan berlayar melalui Langkawi, Thailand dan Laut Andaman serta mengambil waktu empat hari untuk sampai di Sittwe.

Jelasnya, jika tidak mendapat kebenaran berlabuh di sana, misi akan meneruskan pelayaran ke pelabuhan Yangoon dan hanya mempunyai masa selama lapan jam untuk menurunkan bekalan makanan yang dibawa.

Selepas itu, misi akan meneruskan pelayaran ke Teknaf, Bangladesh berikutan terdapat pelarian Rohingya yang mencari tempat perlindungan di sana. – MalaysiaGazette