KUALA LUMPUR- MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), peneraju pengeluar gula bertapis terbesar negara, mengumumkan pengosongan jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang ditinggalkan Datuk Mohamad Amri Sahari @ Khuzari.
Tempat beliau kini dipangku oleh Mohd. Shaffie Said berkuatkuasa hari ini.
Amri mendakwa beliau meninggalkan pekerjaannya kerana telah diberhentikan melalui cara yang konstruktif.
“MSM menafikan dakwaan tersebut dan meminta beliau kembali bekerja mengikut terma dan syarat yang tertakluk dalam perkhidmatan beliau untuk melaksanakan peranan dan tanggjungjawabnya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
“Berikutan pengesahan oleh Datuk Mohamad Amri Sahari @ Khuzari bahawa beliau tidak akan kembali bekerja, Lembaga Pengarah MSM melantik Mohd Shaffie Said sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MSM berkuatkuasa hari ini,” kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Shaffie memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Teknikal MSM dan Pengarah Projek bagi MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd.
Beliau juga akan menggalas tanggungjawab Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan melapor kepada Pengarah Eksekutif MSM.
MSM akan meneruskan urusan perniagaan seperti biasa, manakala Lembaga Pengarah bersama pihak pengurusan sentiasa teguh dalam memajukan perniagaan, kata kenyataan tersebut.-MalayiaGazette