MANCHESTER – Tempoh pinjaman penyerang muda Manchester United, James Wilson di Derby County berakhir secara rasmi dengan persetujuan bersama.
Pemain berusia 21 tahun itu dipinjamkan kepada Derby musim ini oleh Jose Mourinho pada permulaan kempen.
Wilson bagaimanapun mengalami kecederaan lutut yang serius pada Oktober lalu selepas hanya beberapa hari Steve McClaren dilantik sebagai pengurus baru County.
Dia telah kembali ke United untuk penilaian, pembedahan dan pemulihan tetapi semua pihak kini telah bersetuju untuk menamatkan perjanjian pinjaman.
Wilson adalah produk akademi United yang menjadi terkenal di peringkat pasukan utama apabila pengurus sementara Ryan Giggs memasukkanya pada 2014.
Dia dengan serta-merta menjadi berita utama dengan dua gol pada penampilan sulung di Old Trafford menentang Hull City dalam kemenangan 4-0.
Dia mengekalkan kedudukan di bawah Louis van Gaal sebelum dipinjamkan ke Brighton musim lalu.
Wilson hanya beraksi empat kali untuk Derby tanpa menjaringkan gol sebelum mengalami kecederaan dalam latihan. – MalaysiaGazette