Home Nasional Guru agama antara ditahan ada kaitan militan IS

Guru agama antara ditahan ada kaitan militan IS

Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Polis menangkap dua lelaki termasuk seorang guru sekolah agama berusia 25 tahun kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan militan IS, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata, guru berkenaan yang pernah dipenjara 18 bulan kerana kesalahan terbabit dengan keganasan, adalah yang mula-mula ditangkap, pada 23 Disember lalu di Petaling Jaya.

Beliau berkata, lelaki itu sebelum ini pernah ditangkap mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan dipenjara 18 bulan, tetapi dibebaskan pada 9 November 2016.

Katanya, guru terbabit dipercayai merancang melakukan serangan ke atas beberapa pusat hiburan di Lembah Klang.

“Dia juga merancang membunuh bukan Islam kerana percaya jihad membenarkan pembunuhan sedemikian, dan dia juga percaya aset milik bukan Islam boleh dirampas,” katanya.

Guru itu juga katanya, aktif mempromosikan ideologi IS di dalam laman Facebooknya dengan sasaran merekrut anggota militan baharu.

Mohamad Fuzi berkata, polis juga mendapati dia mempunyai hubungan dengan bekas anggota IS dan bekas anggota Kumpulan Militan Malaysia (KMM), yang sebelum ini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata, tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki Indonesia berusia 23 tahun pada Rabu lalu, yang merancang melakukan serangan ke atas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, selain balai polis Jalan Traves di ibu negara.

“Kami dapati dia telah mengintip kedua-dua lokasi itu dengan merakamkan video, dan kami percaya dia merancang menyerbu pusat simpanan senjata kedua-dua lokasi, selain di balai polis sekitar ibu negara dan di kem tentera,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, senjata yang diperolehnya akan digunakan untuk melancarkan serangan pengganas di Malaysia dan Indonesia.

Katanya, pada November tahun lalu, suspek bersenjatakan pisau pergi ke Jalan Pudu untuk menikam sami-sami Buddha, tetapi gagal kerana tidak menemui sasaran.

Beliau berkata, lelaki itu juga didapati telah melakukan baiah kepada pemimpin kanan IS menerusi WhatsApp.

“Bagi membuktikan kumpulan pengganas itu masih aktif di Malaysia, walaupun sudah ditumpaskan di Iraq dan Syria, suspek memasang dan mengibarkan bendera IS di tapak pembinaan tempat dia bekerja,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, kedua-dua suspek ditahan mengikut SOSMA. – MalaysiaGazette