KUALA LUMPUR – Kesedaran orang ramai dalam memulihara nilai sejarah bangunan warisan dan apresiasi terhadap karya agung tempatan perlu pertingkatkan lagi.
Bekas Presiden Warisan Negara, Tun Ahmad Sarji berkata, itu antara objektif utama beliau untuk menghasilkan buku bertajuk The Remembered, Preserved and Imagined Past yang fokus utamanya kepada bangunan bersejarah negara ini.
Kata beliau, tujuan penulisan itu supaya mahu masyarakat lebih berpatriotik dan menghayati nilai bangunan bangunan besejarah dan karya agung tempatan.
Beliau juga menegaskan, lebih ramai lagi ahli filiologi yang boleh mengkaji teks klasik diperlukan dalam usaha memulihara segala warisan bersejarah di negara ini.
“Beberapa cadangan telah dibuat dalam buku sebanyak 150 muka surat itu seperti galakan kerajaan dalam pemuliharaan bangunan-bangunan warisan, lebih ramai filologi yang boleh mengkaji karya agung Melayu.
“Yayasan Karyawan telah menerbitkan 21 karya agung tetapi berdepan cabaran apabila memerlukan ramai pakar penterjemah dalam bidang filologi.
“Oleh kerana tanpa pengetahuan dan kemahiran dalam menterjemah perkataan klasik Melayu, maka ia tidak mungkin akan dikaji dengan bersungguh-sungguh tanpa kerjasama semua pihak khususnya kerajaan,” katanya semasa majlis pelancaran buku hasil nukilannya di ibu negara hari ini.
Buku itu dilancarkan oleh Tetamu Khas, bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar.
Menurut Ahmad Sarji, beliau sudah 18 tahun menjadi presiden badan warisan dan juga Pengerusi Karyawan selama lapan tahun dan pengalaman dan pendedahan itu memberinya kesedaran untuk menulis buku ini untuk faedah umum.
Bagi permulaan, sebanyak 1,000 naskah telah dicetak dan mula dijual di semua kedai buku MPH Bookstore dan Popular di seluruh negara dengan RM59.90 setiap satu bermula hari ini.
Orang ramai juga boleh menempah buku berkenaan menerusi atas talian www.mphonline.com.
Dalam pada itu, Hanif yakin karya terbaharu Ahmad Sarji terus memberi kesedaran pentingnya memulihara warisan bersejarah daripada terus ditenggelami arus pembangunan moden.
“Kita perlukan sokongan badan-badan bukan kerajaan dalam perkara ini, untuk kita terus menyemai perjuangan mempertahankan warisan kita dan nilai estetiknya selain inisiatif kerajaan,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette