Home Nasional Data penderma organ bocor: SKMM digesa tangkap dalang

Data penderma organ bocor: SKMM digesa tangkap dalang

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia digesa meningkatkan usaha untuk menangkap dan mendakwa dalang di sebalik insiden kebocoran data peribadi melibatkan senarai penderma organ.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, insiden itu menggambarkan Malaysia sedang berdepan dengan satu krisis keselamatan data peribadi sama ada yang diuruskan oleh syarikat swasta mahupun badan kerajaan.

“Saya menggesa agar Datuk Seri Salleh Said Keruak mengurangkan aktiviti menangkap, merampas peralatan komunikasi dan mendakwa ahli-ahli politik atau orang ramai yang kritikal terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sebaliknya beliau atau SKMM perlu mempertingkat usaha untuk menangkap dan mendakwa mereka yang telah mencuri dan membocorkan data peribadi kita.

“Kita tidak tahu apakah ada lagi sistem atau pangkalan data terutama yang diurus badan atau agensi kerajaan yang telah dibolosi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan portal Lowyat.net yang mendedahkan senarai penderma organ berjumlah lebih 220,000 orang dipercayai dicuri pada September 2016.

Portal itu juga melaporkan lebih 440,000 orang terkesan dengan kebocoran data terbaru ini kerana maklumat peribadi orang yang mempunyai hubungan dengan penderma organ juga terdapat dalam set data tersebut.

Laporan itu turut menyebut data berkenaan dipercayai dicuri dari hospital-hospital kerajaan dan Pusat Sumber Transplan Nasional.

Fahmi berkata lagi, insiden itu amat membimbangkan kerana ia melibatkan maklumat kesihatan dan hubungan peribadi penderma organ.

“Ia merupakan insiden kebocoran data keempat, di mana sebelum ini ia melibatkan data dari syarikat telekomunikasi (46.2 juta data peribadi), laman web pekerjaan (17 juta data peribadi) dan beberapa badan perubatan (80,000 data peribadi).

“Ini bermaksud hampir 64 juta set data peribadi telah dicuri di Malaysia yang kini diketahui umum,” dakwanya.

Beliau turut berkata, kebocoran itu akan mengurangkan kepercayaan umum terhadap tahap keselamatan pangkalan data sedia ada sekiranya insiden ini tidak dikekang dan berulang.

“Saya juga menggesa agar Datuk Seri Salleh memberikan penjelasan status terkini siasatan terhadap insiden kebocoran data syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum ini.

“Beliau juga perlu berterus terang sama ada wujud mana-mana kejadian kebocoran data peribadi lain yang belum diketahui umum, terutama yang melibatkan pangkalan data diurus badan kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.