Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAQSA, Dr. Noorazman Mohd. Samsuddin berkata, halangan itu bertentangan dengan hak asasi manusia dan masyarakat dunia wajar mengecam tindakan biadap itu.
“Tentera zionis Israel telah menyiasat dan mengeledah rumah mereka selama lebih dua jam di Baitulmaqdis semalam. Seterusnya mereka telah dikenakan tahanan rumah selama sebulan.
“Secara khusus mereka telah dilarang untuk hadir ke Persidangan Meja Bulat MyAQSA kerana bagi Zionis Israel program tersebut adalah satu bentuk ancaman kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kedua-dua tokoh berkenaan ialah Timbalan Pengerusi Gerakan Islam Baitulmaqdis, Sheikh Dr Kamal Khateeb dan Pengarah Harta Wakaf dan Akademi Warisan Masjidil Aqsa, Sheikh Dr Najeh Daod Ahmad Bkirat.
Sebelum itu mereka telah mengesahkan kehadiran mereka sebagai peserta kepada Persidangan Meja Bulat MyAQSA yang akan bermula pada hari Jumaat ini di Putrajaya.
Persidangan Meja Bulat MyAQSA merupakan sebahagian program dalam Festival MyAQSA yang akan berlangsung di Putrajaya pada 26 hingga 28 Januari ini,
Noorazman menyeru semua rakyat Malaysia untuk bangkit menzahirkan bantahan mereka terhadap kezaliman berterusan tentera Zionis Israel dengan menghadiri Festival MyAQSA bermula Jumaat ini.
“Marilah sama-sama menunjukkan solidariti kita kepada perjuangan pembebasan Baitulmaqdis dengan hadir beramai-ramai ke Himpunan Munajat Aqsaku yang akan berlangsung pada Sabtu 27 Januari ini di Dataran Putrajaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.